Friday, December 31, 2010

Aidil Fitri Pertama

 Kali pertama aku menyambut hari raya puasa, aku bersendirian. Tanpa keluarga. Rakan-rakan semuanya bercuti, balik ke kampung masing-masing. Aku tidak terfikir untuk balik ke kampungku kerana keluargaku tidak menyambut hari raya ini. Sebaliknya aku akan menghadapi kesukaran untuk berpuasa di rumah keluarga ku. Jika sebelum ini aku pernah juga balik ke kampung, tiadalah masalah besar kerana bukannya dalam bulan Ramadhan. Kakak akan membantu menyediakan tempat/bilik untuk aku solat tanpa diganggu. Makan-minum pula aku tidak berkira sangat. Cukup nasi bungkus sahaja, atau makanan lain yang mudah dibeli di kedai-kedai.

Bulan Ramadhan tahun pertama selepas aku memeluk Islam memberi peluang aku melaksanakan ibadah puasa dengan lebih sempurna. Jika sebelum itu aku ‘mencuri-curi’ berpuasa, kini aku boleh melaksanakannya dengan lebih baik, yakni dimulakan dengan bersahur, kemudian solat Subuh, sebelum bertolak ke tempat kerja. Selepas berbuka pula, aku ke masjid untuk solat Maghrib, Isya’ dan solat tarawikh.  

Apabila menjelang penghujung bulan Ramadhan, rakan-rakan serumah mula balik ke kampung, seorang demi seorang. Shaharani mengajak aku mengikutnya pulang ke Taiping, tetapi aku menolak, kerana aku merasa segan pula untuk beraya dengan keluarganya, yang masih tidak aku kenali. Dia mendesak, sehinggalah aku akhirnya bersetuju untuk menyusul pada hari raya kedua. Aku ingin menyambut hari raya pertamaku di Kuala Lumpur, bersendirian.

Pada pagi 1 Syawal, aku siap mandi dan bersiap-siap sambil mendengar laungan takbir hari raya di TV yang mendayu-dayu. Tiba-tiba aku teringat, aku tidak ada sehelaipun baju melayu. Aku juga tidak menyediakan sehelaipun baju raya, kerana bagiku raya tidak memberi apa-apa erti atau keseronokan. Aku tiada sesiapa untuk bersama-sama menyambut hari kebesaran itu.

Kebiasaanya aku ke masjid dengan berbaju T sahaja. Tidak terfikir pulak untuk membeli barang sehelai baju melayu, sekurang-kurangnya untuk dipakai pada hari raya pertama. Aku mula ragu-ragu sama ada mahu ke masjid atau tidak. Nanti janggal pulak dilihat orang lain, jika aku hanya berbaju T ke masjid pada hari raya pertama.

Aku melabuhkan punggung didepan TV, menonton siaran langsung solat hari raya dari masjid Negara. Solat belum bermula, jemaah masih belum ramai. Kamera menunjukkan jemaah mula mengisi ruang kosong dalam masjid, sambil suara takbir bergema. Airmata mula meleleh mendengar kesayuan suara takbir. Aku memerhatikan seorang demi seorang jemaah memasuki masjid, kesemuanya dengan wajah girang, senyuman dan gelak ketawa bersama rakan-rakan masing-masing. Mata aku terpaku pada seorang jemaah yang sedang duduk disudut masjid, dia berbaju T sahaja! Ahh… jadi ada jugalah orang tidak memakai baju melayu, fikirku. Tak kesahlah kalau aku tak pakai baju melayupun.

Aku mendapat semangat baru. Aku segera bersiap, mengenakan baju T terbaru yang aku miliki, serta berkain pelikat, aku segera menutup TV, mengunci pintu rumah dan melangkah ke masjid Kg Melayu Ampang, dalam 500 meter dari rumah sewaku.

Semakin aku mendekati masjid, semakin jelas kedengaran suara takbir. Ianya tetap mendayu-dayu. Airmata tidak tertahan lagi, aku biarkan membasah pipi. 

Saturday, December 25, 2010

Rakan menjadi Saudara Baru

Kerisauan utama yang selama ini menghantui fikiranku telah aku tempuhi tanpa sebarang tragedi atau peristiwa yang buruk - sekurang-kurangnya tidak berlaku pada diriku, walaupun aku mendapat maklum bahawa sebetulnya tidak dapat menerima penjelasanku dengan mudah. Kakak memberitahu, bapa mengamuk setibanya dia ke rumah, selepas menghantarku ke stesen keretapi. Bapa menyatakan kekesalan kepada kakak terhadap laluan pilihanku, tetapi kakak berjaya mendamaikan beliau. Kakak cuba memberi penjelasan dan pandangan tanpa terlalu menunjukkan dia berpihak kepadaku. Terima kasih, kak. Sungguh banyak pengorbananmu kepadaku, dan aku berdoa semoga Allah memberikan hidayah kepada mu, mudah-mudahan kakak beroleh petunjuk dan akan memilih kebenaran jua. Akan ku riwayatkan perihal kakak di lain kesempatan, insya Allah.

Sebelum aku sampaikan berita keIslamanku kepada bapa, sebenarnya rakan-rakan sekerjaku terlebih dahulu mengetahuinya. Aku tiada sesiapa di kota Kuala Lumpur ini, selain kawan-kawan yang bertugas di tempat yang sama. Saudara-mara berada jauh di kampung. Masa itu aku masih menyewa sebuah bilik di rumah seorang Cina di Jalan Klang Lama. Bilik sewaan hanyalah tempat bermalam, makan minumku di kedai. Kalau makan dibilik pun, hanyalah biskut dan air kotak.

Hari pertama aku bekerja selepas keIslamanku, aku tunggu masa yang sesuai untuk memecahkan berita perihal diriku kepada kawan-kawan. Kesempatan itu datang dengan segera, sebaik sahaja sampai di pejabat, kebetulan belum ramai yang tiba, aku mendekai sahabat baikku, Sani. Kami sama-sama belajar di Politeknik Ungku Omar dan melapor diri bertugas di tempat yang sama, cuma berselang 3 hari. Kebiasaanya kami memang bersama-sama keluar bekerja, makan dan minum.

"Sani, aku dah masuk Islam" kataku secara spontan.

"Hah? Betui ka? Alhamdulillah!" Sani menghulurkan tangan bersalam denganku. Dia menggenggam erat jari-jariku. Riang sungguh wajahnya.

Sani, sahabatku
"Aku dah agak dah, suatu hari nanti hang tentu masuk Islam jugak, Baguih, baguih. Aku pun dah lama nak ajak hang, tapi tak terkeluak pulak nak cakap" Sani orang Taiping. Loghat Peraknya masih tebal.

Aku senyum saja.

"Bila hang masuk Islam? Hang buat kat mana? Hang dah bagi tau keluarga hang?" Sani bertanya bertubi-tubi.

"Semalam aku pergi PERKIM. Tapi aku belum bagi tahu kat sesiapa"

"Hang dok mana sekarang? Mai dok dengan akulah, tapi rumah sewa aku rumah buruk je, rumah setinggan" Sani mempelawa bersungguh-sungguh.

"Hmm.. boleh juga kot, nanti hang boleh ajar aku. Aku tak kesah pun rumah buruk, rumah aku kat kampung dulu pun buruk jugak"

"OK la kalau macam tu." Sani sahut dengan gembira. Dia melambai-lambai kepada beberapa orang rakan lain yang baru masuk pejabat, "woi, woi, mai sini sat. Aku nak citer ni, Mus dah masuk Islam tau!"

"Alhamdulillah! Alhamdulillah!" Beberapa rakan sekerja datang mengelilingi kami dan bersalaman denganku. Masing-masing mahu mendengar cerita selanjutnya. Masing-masing menunjukkan kegembiraan. Riuh sebentar suasana pejabat pagi itu.

"Mus, engkau belajar kat mana? Engkau dah masuk Islam, kenalah sembahyang lima waktu" Seseorang memberitahuku.

"Aku banyak belajar dari buku, tapi PERKIM kata ada kelas agama sebelah malam. Aku akan belajar kat PERKIM la. Tapi aku kena sembahyang setiap waktu ke? Tak boleh ke aku buat kat rumah saja, malam nanti?" Aku perhatikan ramai juga kawan-kawan yang tidak solat pun, waktu tengahari. Bila ada kawan-kawan yang pergi solat, aku pernah bertanya kepada mereka yang tidak ikut serta, awak tak pergi sembahyang ke, dan aku diberitahu dia akan buat di rumah. Jadi aku fikir sembahyang bolehlah dilewatkan dan dibuat di rumah malam nanti.

Tapi sepanjang pengetahuanku hasil dari pembacaanku dan ajaran ustaz semasa sekolah dahulu, rasanya Islam telah menetapkan masa tertentu untuk solat, dan dalam satu hari ada lima kali masa yang berlainan. Jadi aku agak kehairanan juga bilamana ramai juga rakan sepejabat yang nampaknya tidakpun melakukan solat sepanjang hari di pejabat. Alasan mereka, pakaian tidak bersih, tak sempat dan berbagai alasan lagi, tetapi segera menambah, bahawa mereka akan solat 'qodho' di rumah nanti. Maka aku berfikir, agaknya memang dibolehkan berbuat sedemikian

"Alhamdulillah Mus, kamu dah jadi saudara baru kami. Kalau ada apa-apa masalah, bagi tahulah kami, kami akan cuba tolong" kata seseorang, aku tidak pasti siapa.
...

Sambutan rakan-rakanku amat memberangsangkan. Cuma sebelum aku mengambil langkah sendiri untuk mengIslamkan diriku secara resmi, tiada sesiapa antara mereka yang sudi mengajak aku ke jalan yang benar, jalan yang telah mereka perolehi. Apakah mereka segan untuk mengajak aku kepada kebenaran? Apakah aku boleh berbuat yang lebih baik dari itu, terhadap rakan-rakanku terkini yang masih belum mendapat cahaya itu? Aku belum temui jawapannya.

Monday, December 20, 2010

Masuk Melayu atau Masuk Islam?

Bagaimana harus ku sampaikan khabar mengenai keIslamanku kepada bapaku? Bapa seorang orang kampung yang berfikiran konservatif, sebagaimana kebanyakan pemikiran masyarakat Cina di kampungku, Wakaf Bharu. Anggapan mereka terhadap seorang bukan Islam yang memeluk Islam adalah “masuk Melayu”, kerana majority kes masuk Islam adalah kerana mahu berkahwin dengan pasangan Melayu, lalu mereka masuk Islam, menukar nama kepada nama “Melayu”. Ada antara mereka yang “masuk Melayu” itu mula berubah dan mengamalkan cara hidup sebagaimana dikehendaki oleh Islam, tetapi tidak kurang pula ada yang terus bergelumang dengan caraa hidup dan maksiat, seperti berjudi, minum arak dan meninggalkan solat dan puasa. Lebih-lebih lagi, apabila perkahwinan dengan pasangan Melayu tersebut menemui jalan buntu dan terputus ditengah jalan, ramai juga saudara baru tersebut kembali ke agama asal. Nyata sekali, sebutan “masuk Melayu” memang bertepatan dengan mereka ini. Setelah gagal dalam perkahwinan mereka, mereka “keluar Melayu” dan kembali kepada keadaan asal mereka.

Pada masa aku memeluk Islam secara rasmi, aku bekerja di Kuala Lumpur. Aku telah memberitahu kakak terlebih dahulu mengenai keIslamanku.. Kakak menerima berita itu tanpa merasa terkejut. Beliau sudah menjangkanya. Akan kucoretkan perihal kakak lain kali. Tidak lama selepas keislamanku, aku memberitahu kakak aku akan pulang bercuti. Kakak menyarankan agar aku diamkan dulu tentang keIslamanku, kerana dia khuatir bapa tidak dapat menerimanya. Jadi sepanjang cutiku beberapa hari itu, aku tidak menunjukkan sebarang perubahan atau bercerita mengenai keIslamanku kepada sesiapa di kampung. Kakak bersekongkol dengan menyediakan bilik untuk aku bersolat semasa di rumah, beliau berjaga-jaga supaya tiada sesiapa masuk ke bilik tersebut apabila aku solat. Aku berjaya melalui tempoh cuti selama tiga atau empat hari tanpa mendedahkan rahsiaku.

Tiba masa untuk aku kembali semula ke Kuala Lumpur. Aku memberitahu kakak, aku perlu memaklumkan kepada bapa perihal agama aku. Kakak masih ragu-ragu dan menyatakan kerisauannya tentang bagaimana penerimaan bapa, tetapi aku sudah nekad untuk memberitahu perkara yang sebenar.

Aku pulang ke Kuala Lumpur menaiki keretapi. Bapa menghantar ke stesen di Wakaf Baru. Kami dating awal, keretapi akan tiba dalam masa lebih sejam lagi. Kami singgah di sebuah kedai kopi di belakang stesen. Setelah minum, aku memandang muka bapa dan dengan jantung yang berdebar kencang, aku mengumpul semangat untuk memulakan kata-kata:

“Bapa, aku ada nak beritahu sesuatu”

“Apa dia?” Bapa memandang aku.

“Aku sudah memeluk agama Islam” jawabku dengan ringkas. Hatiku di awang-awangan, menunggu reaksi bapa.

Bapa diam. Lama diamnya. Aku mengalih pandangan. Takut untuk melihat muka bapa. Aku bersedia menerima segala kemungkinan – adakah bapa akan menempelengku? Atau menengking aku? Atau mencekik aku? Aku tidak tahu apa yang akan berlaku. Tetapi bapa seorang yang baik; dia tidak pernah memukul anak-anaknya. Tidak pernah menempeleng atau mengasari kami. Tapi perkara yang aku baru nyatakan ini adalah suatu perkara yang besar, amat besar. Apakah bapa boleh menerimanya? Sedangkan aku adalah anak lelaki tunggal, yang menjadi harapan keluarga bagi meneruskan nama keluarga kami. Sebenarnya aku ada seorang adik lelaki, tetapi umurnya tidak panjang. Dia meninggal dunia semasa berumur 9 tahun kerana kemalangan jalan raya.

Bapa tiba-tiba bersuara. “Kenapa masuk Melayu? Nak kahwin ke?” Suara bapa berubah, agak garau dan sebak.

“Bukan bapa. Aku bukan nak kahwin”

“Habis tu kenapa? Ada orang janji nak bagi hadiah apa-apa ke?”

“Bukan bapa. Bukan sebab itu. Aku masuk Islam, bukan masuk Melayu. Aku masuk Islam sebab aku fikir agama Islam adalah benar. Agama kita adalah silap. Itu sahaja sebabnya” Jelasku.

“Tapi agama Islam banyak peraturan. Banyak yang kena buat, sembahyang, puasa, tak boleh makan itu ini. Susah!”

“Tidak susah bapa. Agama Islam mempunyai peraturan, supaya penganut agama Islam menjadi orang baik-baik. Agama kita sebelum ini tidak ada peraturan apa-apa, suka hati sahaja mahu mengamalkan atau tidak”

“Kamu boleh ke membuat semua itu? Kamu nak tinggalkan agama datuk nenek kita?”

“Boleh bapa. Tuhan akan tolong kita dan berikan kekuatan, kalau kita ikhlas. Lagi pulak Islam tidak memutuskan hubungan kita. Bapa masih bapaku sampai bila-bila. Aku akan tetap pulang ke rumah bapa bila bercuti. Cuma aku perlu laksanakan apa yang Islam suruh dan menjaga makan minum supaya mengikut kehendak Islam” aku menjelaskan lagi.

Bapa diam. Agaknya dia sudah mula menerima hakikat.

“Baiklah, kalau kamu betul-betul mahu buat begitu. Tapi amalkan betul-betul apa yang agama kamu suruh, jangan jadi macam sesetengah orang yang masuk Melayu…” Bapa bersuara perlahan.

“Ya bapa, aku akan lakukan apa yang Islam suruh. Dan Islam menyuruh aku tidak memutuskan hubungan dengan ibu-bapa. Jadi aku masih anak bapa dan bapa masih bapa aku”


Aku membiarkan air mata membasahi pipi sebaik sahaja keretapi bergerak meninggalkan stesen Wakaf Bharu membara aku ke Kuala Lumpur. Aku biarkan hatiku mengelamun jauh membayangkan bagaimana perasaan bapa, perasaan yang dia cuba sembunyikan dariku semasa menghantar aku dan mengucapkan selamat jalan. Semoga Allah memberikan hidayah kepada bapaku dan semua ahli keluargaku.

Sunday, December 12, 2010

Hikmah Di sebalik Kesedihan

Apa yang mendorong aku mengambil langkah yang penuh makna dan mengubah kehidupanku sebagaimana coretan ini? Hasrat aku memeluk Islam sudah lama tersimpan dalam hati. Akan kuceritakan di lain kesempatan mengenai apa yang terjadi dan bagaimana aku mula mengenal agama Islam, selain kehidupan aku sebelum itu.

Coretan ini mengimbas kembali apa yang telah berlaku pada sekitar tahun 1984. Pada masa itu aku telah muktamad memikirkan dan mengambil keputusan bahawa Islam adalah agama aku. Cuma aku masih belum melakukannya secara rasmi, dan masih tidak  memberitahu sesiapa mengenainya.

Kehidupan seorang remaja di kota Kuala Lumpur pada masa itu menyibukkan diriku dan melalaikan aku sehingga hasrat memeluk Islam tertangguh dan tidak terlaksana untuk sekian lama. Namun satu peristiwa sedih telah mengejutkan aku dari leka, apabila seorang rakan sekerja telah meninggal dunia dalam usia 22 tahun, diserang sakit jantung. Mohd Tahir Bin Abdul Jalil namanya. Beliau sudah tahu mengenai sakitnya dan sedang dalam rawatan. Berbagai jenis obat perlu dimakan olehnya setiap hari. Tetapi beliau sentiasa ceria dan selalu bergurai dengan kami dengan mengatakan doktor memberinya tempoh selama 6 bulan sahaja lagi untuk hidup.

Allahyarham Mohd Tahir perlu melakukan satu pembedahan bagi merawat jantungnya. Untuk itu, beliau berhasrat pulang kekampungnya di Melaka bagi memaklumkan kepada keluarga dan berjumpa mata dengan mereka sebelum pembedahan dilaksanakan. Kebiasannya, beliau pulang dengan menaiki motosikal tetapi pada hari tersebut, hujan agak lebat lalu beliau mengambil keputusan pulang dengan bas sahaja. Aku masih ingat hari tersebut, iaitu bersamaan hari cuti Deepavali. Aku juga pulang bercuti ke kampungku di Kelantan, mengambil kesempatan cuti tersebut yang bersambung dengan cuti hujung minggu. Sekembali aku kepejabat semula pada hari Isnin berikutnya, rakan sekerja ku menyampaikan berita sedih. Sahabat kami Mohd Tahir sudah tiada lagi...! Aku terdiam kerana baru dua atau tiga hari lepas kami bergurau mengenai kata-kata doktor tentang tempohnya untuk hidup selama 6 bulan lagi. Rupa-rupanya tempoh itu tidak dapt dihabiskan. Aku mendapat tahu sebaik sahaja bas yang dinaiki beliau bergerak keluar dari Hentian Puduraya, beliau mendapat serangan penyakitnya dan mungkin telah meninggalkan dunia ini pada masa tersebut. Kepalanya terlentok ke sebelah, terkulai keatas bahu penumpang disisi beliau, seorang gadis Cina. Amoi tersebut menolak kepalanya sedikit, dengan anggapan dia tertidur tetapi apabila didapatinya kepala Mohd Tahir masih terkulai tanpa tindak balas, amoi tersebut terus memanggil pemandu bas. Mohd Tahir segera dibawa ke klinik yang berhampiran dan disahkan telah meninggal dunia.

Pemergian mengejut sahabat kami itu menyedarkan aku dari alam mimpi. Selama ini aku tidak terfikir bahawa ada kemungkinan kehidupan aku juga sebegitu, yakni tidak semestinya umurku akan panjang sehingga lima puluh, enam puluh atau tujuh puluh tahun. Mungkin sahaja aku atau mati pada bila-bila masa, sebagaimana dikehendaki Allah. Kalaulah aku tidak sempat memeluk Islam secara rasminya, bagaimanakah perihal diriku? Walaupun aku menganggap diriku sudah Islam, itu hanya aku yang tahu. Kalau aku mati, mayatku akan ditanam diperkuburan Cina. Dan bagaimana dengan amal ibadatku selama ini, yang masih kosong? Apakah aku akan pergi mengadap Pencipta ku dengan diri yang tidak menyempurnakan sebranag suruhanNya? Apakah Allah akan menerima rohku dalam keadaan begitu, sedangkan aku kini berupaya untuk mengambil langkah seterusnya?

Aku terus memikir dan mencari bagaimana langkah aku seterusnya. Aku menyimpan nombor-nombor telefon pejabat agama Islam, nombor telefon Masjid Jamek Kuala Lumpur, nombor telefon Masjid Negara dan nombor telefon PERKIM.

Beberapa kalu aku menelefon ke nombor-nombor tersebut, tetapi lidah aku kelu untuk bertanya. Apa yang harus aku tanya? Bagaimana aku harus mulakan pertanyaan? ”Macamana nak masuk Islam”? ”Apa yang perlu saya buat untuk masuk Islam”? ”Nak pergi ke mana kalau nak peluk Islam”? Hmm... aku tak tahu macam mana nak tanya! Aku mohon kepada Allah agar memberi aku idea dan kekuatan untuk memulakannya.

Allah itu Maha Mendengar. Dia amat Pemurah dan Amat Mengasihani. Allah memberi ilham dan kekuatan kepadaku untuk mengambil langkah seterusnya, menelefon PERKIM. Panggilan telefon ke PERKIM dijawab oleh seseorang dengan mesranya. Apabila aku bertanya tentang Islam, mereka menjemput aku ke pejabat PERKIM supaya mereka boleh bercerita lebih lanjut tentang Islam. Aku maklumkan aku sudah tahu mengenai Islam dan sudah mengambil keputusan untuk memeluk Islam. ”Kalau begitu, silalah encik datang ke PERKIM, untuk diIslamkan” jemput mereka.

Pejabat PERKIM terletak di Jalan Ipoh. Di tingkat bawahnya terdapat sebuah pasaraya. Aku ke bangunan tersebut untuk meninjau-ninjau. Aku keluar masuk ke pasaraya tersebut, tetapi kaki ku tidak terlangkah untuk ke pejabat PERKIM. Secara tiba-tiba aku terasa berat untuk masuk ke situ. Terasa ragu-ragu, bagaimana sambutan mereka nanti? Apakah mereka akan paksa aku bersunat dan tinggal bersama mereka? Apakah aku akan diasingkan untuk belajar tentang agama Islam? Lalu aku balik semula ke bilik sewa ku.

...

Salam kepada ahli keluarga allahyarham Mohd Tahir Abdul Jalil, sekiranya terbaca coretan ini. Kepada sesiapa sahaja yang sudi, marilah kita bacakan surah al-Fatihah dan hadiahkan pahalanya kepada sahabatku allahyarham Mohd Tahir. Mudah-mudahan Allah menempatkan roh allahyarham bersama mereka yang beriman.

Sunday, December 5, 2010

Penamat Dan Permulaan

”Encik nak ke mana?” Tanya Pengawal Keselamatan di pintu masuk tingkat bawah Bangunan Perkim, berdekatan lobi lif.

”Saya nak ke bahagian masuk Islam” ujarku.

”Encik naik lif, pergi tingkat 7 jumpa Ustaz Hussin Yee” sambut pegawai itu mesra.

Aku menuju lif. Dalam hati aku tertanya-tanya. Ustaz Hussin Yee ini Cina ke? Pandai ke dia bercakap Melayu? Sebab aku tak pandai bertutur dalam bahasa Cina. Dalam keluarga kami, bahasa pertuturan kami adalah bahasa Siam.

Apa halpun, lif sudah berhenti ditingkat 7. Aku keluar dari lif dengan jantung yang bedegup-degup, nafas yang semakin kencang dan peluh mula membasahi dahi.

”Encik nak jumpa siapa?” tanya seorang wanita yang terserempak denganku dipintu pejabat.

”Ustaz Hussin Yee”

”Encik terus ke hujung sana, dekat bilik hujung sekali tu ya” katanya sambil menunjuk ke satu arah.

Aku berjalan perlahan-lahan menuju ke arah yang ditunjukkan. Dalam perasaanku, semua mata staff yang berada di pejabat itu memandang aku mengatur tapak kaki langkah demi langkah. Aku rasa janggal tetapi buat tak tahu sahaja, sambil berdoa agar aku diberi kekuatan oleh Allah yang aku sedang cari keredhaanNya.

”Assalamualaikum warahmatullah” seorang yang aku fikir adalah Ustaz Hussin Yee, berdasarkan rupanya yang ada rupa seorang berketurunan Cina dan berketayap menyapa. Aku kaget, boleh ke aku menjawab salam itu? Dan bagaimana caranya untuk aku menjawab? Ilmu pengetahuanku berkaitan Islam masih dangkal, banyak yang ku ketahui hanyalah dari bacaan buku-buku semata-mata. ”Waalaikum salam...” Jawabku perlahan dan teragak-agak.

”Sila duduk. Apa hajat saudara?” Tanya Ustaz Hussin lembut dan mesra.

”Err... saya nak masuk Islam” jawabku, sambil cuba menenangkan perasaan yang berdebar-debar. Peluh dingin terus membasahi dahi. 

”Alhamdulillah!” Aku lihat keceriaan yang tiba-tiba muncul di muka Ustaz Hussin Yee.

”Untuk memeluk Islam mudah sahaja. Pertamanya kita perlu mengaku bahawa Tuhan kita ialah Allah Taala, dan nabi kita adalah Nabi Muhammad. Cara kita buat pengakuan itu ialah dengat mengucapkan dua kalimah syahadat. Mari saya bantu saudara untuk mengucap...” jelas Ustaz Hussin. Tetapi aku sudah tahu semua itu, melalui pembacaan dan dari kata-kata Ustaz yang mengajar matapelajaran Ugama Islam di sekolah dahulu.

”Saya dah tahu macam mana nak mengucap...” kataku.

”Kalau macam tu, baguslah. Sekarang saya minta saudar mengucap didepan saya dan saya akan menjadi saksi saudara” sahutnya sambil menghulurkan tangan.

Aku mengambut tangan yang dihulur, bersalam dengannya. (Sekarang baru nak salam? Aku tertanya dalam hati).

”Baiklah, sila saudara mengucap” kata Ustaz Hussin, sambil menggenggam erat tanganku.

”Asyhadu al-Laailaha Illallah, wa-asy hadu anna Muhammadar rasulullah” aku berkata, terketar-ketar.

”Alhamdulillah! Saya menyaksikan saudara sekarang ini telah memeluk agama Islam. Saya ucapkan tahniah kepada saudara. Jika saudara perlukan bantuan, beritahulah kami. Saudara boleh datang mengikuti kelas bimbingan yang Perkim adakan setiap malam Selasa dan Jumaat. Tak perlu bayar apa-apa. Atau saudara boleh juga pergi ke kelas bimbingan yang disediakan oleh JAWI” Ustaz Hussin menjelaskan.

Aku mengangguk. Kemudian Ustaz Hussin berkata ”Saudara perlu daftarkan keIslaman saudara. Saudara perlu satu nama Islam”

”Perlukah ustaz? Kalau tak daftar tak boleh ke? Kalau ta tukar IC tak boleh ke?” tanyaku. Debaran sudah hilang, banyak pulak soalan yang tiba-tiba muncul.

”Disisi Allah, saudara sudah Islam. Islam tidak mewajibkan pun supaya saudara menukar IC tetapi eloklah ditukar juga, sebab jika sesuatu berlaku kepada saudara, misalnya jika saudara meninggal dunia, orang lain tahu tentang agama saudara dan jenazah saudara akan diururskan secara Islam.

”Bagaimana dengan keluarga saya? Perlukah saya beritahu mereka ustaz?”

”Elok saudara maklumkan supaya tidak berlaku kekeliruan pada masa hadapan. Saudara mahu menggunakan nama apa?”
...

Itulah sebahagian daripada satu peristiwa yang amat besar buatku. Satu langkah yang sungguh bererti, yang telah aku tunggu-tunggu sekian lama dan amat kuharapkan berlaku dan akhirnya dengan kehendak Allah, terjadilah pada tarikh 9 Hb Mei 1984, di pejabat Perkim, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Peristiwa itu merupakan penamat kepada penantianku yang begitu lama, dan juga merupakan permulaan kepada kehidupanku sebagai seorang yang digelar mualaf atau saudara baru.

Kubiarkan air mata yang bercucuran menitis membasahi pipi, sebaik sahaja kaki melangkah keluar meninggalkan bangunan Perkim. Berjalan kaki dari Jalan Ipoh menuju Chow Kit, aku merasa seolah mahu terbang ke langit tinggi kerana badanku dirasa sungguh ringan, segala bebanan yang terpikul selama ini hilang lenyap. Tiada lagi kerisauan, tiada lagi keraguan. Sesungguhnya Allah telah memakbulkan doaku dan menyempurnakan hajatku.