Sunday, December 18, 2011

Ibadah Penghalang Kemajuan? (Bahagian 1)

"Wan, aku rasa orang Cina mempunyai kelebihan dari segi pembelajaran, kerana orang Cina tidak perlu sembahyang, mereka mempunyai banyak masa untuk mengulang-kaji" ujarku kepada sahabat sekelas.

"Tidaklah, sembahyang tidak mengganggu atau menghalang kami dari belajar" tingkah sahabatku.

"Tapi untuk sembahyang, kena ambil masa, jadi sudah tentu terganggu" jawabku.

"Tidak, sebenarnya waktu yang digunakan untuk sembahyang itu memberi kekuatan kepada kita"

Aku tidak faham. Aku fikir setiap kali mereka hentikan aktiviti lain untuk pergi ke surau bagi mengerjakan solat pastinya mengganggu apa yang sedang mereka lakukan. Mereka selalu keluar dari kelas apabila habis satu subjek dan sementara menunggu guru subjek seterusnya masuk, mereka ambil kesempatan itu untuk bersolat. Bagi aku, perbuatan itu mengganggu pembelajaran, kerana biasanya mereka masuk semula ke kelas selepas guru sudahpun memulakan pengajaran subjeknya.

Allahyarham Wan Ibrahim bersama keluarganya. Gambar diambil lebih 20 tahun lalu, sewaktu beliau berkunjung ke  Kuala Lumpur.
Aku rasakan ada antara rakan-rakanku yang mengambil kesempatan ponteng sebahagian waktu kelas, menggunakan alasan untuk bersolat, terutamanya kelas subjek yang mereka tidak sukai. Sahabatku Wan Ibrahim tidak setuju. Katanya waktu yang diambil untuk bersolat memberi kekuatan kepada mereka seolah bateri yang dicajkan semula. Aku pula fikir mereka cuma membuat alasan untuk ponteng kelas. Kenapa mereka tidak lakukan solat waktu rehat? Kenapa perlu guna waktu belajar?

Aku belum mengerti?

Monday, October 3, 2011

Islam Yang Ku Kenal (1)

Dah 4 hb Zulkaedah, tahun 1432H. Alhamdulillah, Syawal sudah berlalu, kini bulan kesebelas takwim Islam sudah bermula. Selesailah acara-acara rumah terbuka, pejabat terbuka dan perbagai nama yang diberikan demi menyemarakkan sambutan hari raya aidilfitri, yang dikatakan oleh segelintir kita boleh disambut selamat sebulan.

Masih ada saja di beberapa tempat yang terus mengadakan sambutan raya aidilfitri, kemungkinan disebabkan tidak berkesempatan dilangsungkan dalam bulan Syawal, atau kerana tidak dapat menempah dewan untuk acara tersebut terlebih awal disebabkan tempahan penuh, atau apa jua alasan lain. Ada juga yang memberi nama lain kepada acara sambutan mereka, seperti ‘jalinan mesra’, ‘jamuan bersama pelanggan’ dan sebagainya.

Tentunya tidak ada salahnya mengadakan acara sambutan dengan dipenuhi aneka makanan dan minuman sambil boleh beramah mesra dan bertemu mata antara sesama kita. Cumanya, kalau majlis tersebut menjurus kepada pembaziran, makan dan minum berlebih-lebihan seolah-olah mahu mengganti semula kekurangan makan dalam bulan Ramadhan, mengenakan pakaian dan perhiasan seolah-olah setiap hari adalah 1 Syawal; rasanya sudah jauh menyimpang dari amalan yang kita sama-sama lakukan dalam bulan puasa dulu. Sudah lupakah kita kepada tarbiah puasa yang mengingatkan kita kepada mereka yang kesusahan dan kesukaran; agar kita dapat menjiwai kesengsaraan mereka, dengan mengekang nafsu makan dan minum diwaktu siang, serta mengerjakan ibadah demi ibadah terutama diwaktu malam? Sudah lupakah kita akan kelaparan saudara-saudara  seagama kita di Somalia dan lain-lain Negara yang digugat kebuluran?

Peri laku sebahagian kita umat Islam masa kini agak berbeza dengan tuntutan dan ajaran agama Islam yang aku baca dan fahami dari buku-buku, kitab-kitab dan jkuliah-kuliah agama yang kudengari. Semacam cakap lain, buat lain. Apa tidaknya, katanya Islam melarang pembaziran, tetapi ada di kalangan kita yang tidak merasa apa-apa salahnya melakukan pembaziran. Islam adalah kesederhanaan, tetapi di kalangan kita ada saja yang berlebih-lebihan dalam persiapan untuk menyambut hari raya. Payah juga untuk pendakwah cuba meyakinkan rakan-rakan yang bukan Islam, untuk menyampaikan dakwah dalam keadaan kontradik begini. Sememangnya kerja-kerja dakwah bukan mudah. Namun begitu, hak untuk memberi hidayah adalah terletak pada Allah jua. Walau sehebat mana ilmu berkaitan Islam dipunyai oleh seseorang itu, belum tentu dia menjadi seorang muslim yang baik. Sebaliknya walaupun dalam suasana penganut agama Islam yang bercelaru dalam mengamalkan ajaran Islam, bercampur baur dengan amalan-amalan yang terseleweng, Allah boleh sahaja memberi petunjuk kepada hambaNya yang Dia mahu, untuk melihat cahaya Islam yang sebenar – pandangan mata hatinya boleh menembusi kekalutan dan kemungkaran yang yang diamalkan oleh mereka-mereka yang mengaku Islam, dan dia dapat melihat keindahan Islam yang sebenar, lalu beroleh hidayah yang dianugerahkan oleh Allah. Tentunya mereka yang mendapat hidayah itu adalah mereka yang amat beruntung kerana terpilih oleh Allah subhanahu wa-taala untuk terhindar dari kesesatan.

Persoalan amalan penganut agama Islam yang tidak mengikut dan tidak mengamalkan ajaran Islam yang sebenar ini bukanlah perkara baharu. Semasa aku masih kanak-kanak dan zaman remaja dahulu pun, keadaannya tidaklah jauh berbeza. Walaupun pada masa itu sambutan hari raya tidaklah dibuat sepanjang bulan Syawal, sebaliknya hanya hari raya pertama (1 Syawal) sahaja diraikan dengan jiran-jiran Melayu menghantar kuih-kuih raya (terutamanya ketupat daun palas) ke rumah kami, kemeriahan raya segera berlalu selepas 1 Syawal, dan pesawah-pesawah mula kembali ke bendang, peraih-peraih kembali ke pasar, semuanya kembali ke rutin harian.  Namun dalam suasana sebegitu, ada juga segelintir ahli masyarakat yang mencuri-curi makan dan minum dalam bulan Ramadhan. Aku saksikan sendiri individu-individu tertentu yang datang berkunjung ke rumah kami, meminta air untuk membasahkan tekak dikala umat Islam berpuasa Ramadhan. Jika ada makanan, mereka juga mengambil kesempatan untuk mengisi perut mereka. Dengan selamba, mereka menyatakan bahawa mereka tidak tahan untuk berpuasa, dalam keadaan cuaca panas dan perlu bekerja di bawah terik matahari.

Namun begitu, aku amat bersyukur kerana dipilih oleh Allah yang Maha Pengasihani untuk mendapat hidayah dariNya. Allah memberi aku petunjuk bahawa apa yang aku lihat dalam masyarakat itu bukanlah perlakuan sebenar umat Islam yang dituntut oleh agama, sebaliknya mereka merupakan penganut-penganut Islam yang lalai, yang degil dan yang tidak perlu diteladani. Allah memberikan aku cahaya kebenaran yang menunjukkan apa tuntutan dan ajaran Islam yang sebenarnya, dan dapat membezakan ajaran Islam dan perangai penganut agama Islam yang tidak betul. Alhamdulillah, aku bersyukur akan kurniaan Allah dan berdoa mudah-mudahan berterus beroleh hidayah serta berada di landasan yang betul.

Tetapi perlakuan-perlakuan penganut agama Islam yang tidak betul itu memperlihatkan Islam sebagai agama yang bukan terbaik, jika dilihat oleh rakan-rakan bukan Islam. Bagaimana mereka mahu menghormati agama ini jika dilihat penganutnya bukanlah insan yang punyai kehormatan, kerana bergelumang dengan perbuatan yang tidak Islamik? Bagaimana mereka mahu suka kepada agama ini jika dianggap agama ini bukanlah agama yang perlu dihormati, lantaran perilaku buruk penganutnya? Perlukah kita menjadi penyebab kepada orang  bukan Islam untuk membuat anggapan salah terhadap Islam sebenar? 

Friday, September 23, 2011

Penghujung Syawal

Lama sungguh laman ini tidak dikemas-kini. Selepas ini kumahu pastikan sekurang-kurangnya ada satu kemas-kini setiap minggu. Mudah-mudahan Allah memberi kekuatan dan kemahiran untuk aku terus menulis demi menyampaikan sesuatu yang baik dan menyebarkan sesuatu yang indah.

 Hari ini 25 Syawal, minggu terakhir raya. Banyak bahagian-bahagian di pejabat mengadakan majlis sambutan hari raya. Seperti biasa, semua majlis penuh dengan aneka makanan, minuman dan bunyi-bunyian. Lagu-lagu raya dikumandangkan memenuhi ruang telinga. Masing-masing berpakaian indah, pakaian yang ditempah untuk hari raya lalu, atau mungkin juga ditempah khas untuk majlis hari raya di pejabat.

Gelak ketawa memeriahkan suasana. Sembang-sembang diselang-seli mengumpat mengata seolah hari ini dihalalkan segala. Lidah seakan tidak sedar menuturkan kata dusta, umpat dan cela. Bimbang pula kebajikan yang membuahkan sedikit pahala di bulan Ramadhan lalu akan terhakis dan terhapus dek kealpaan dan keterlanjuran menyambut dan meraikan Syawal yang berlebih-lebih.

Hari Raya bukanlah suatu hari yang aku tunggu-tunggukan. Tiada apa-apa kenangan istimewa bagiku. Selepas takbir raya dan solat sunat aidilfitri, bagiku selesailah rutin rasmi hari raya. Ziarah-menziarah rumah sanak saudara bukanlah sesuatu yang aku teruja sangat untuk melakukannya. Bagiku, ianya sekadar menyambung tradisi dan kebiasaan.

Di sana sini tazkirah dan khutbah mengingatkan agar berhemah dan jangan berlebih-lebih dalam menyambut dan meraikan hari raya. Ustadz mengingatkan agar tidak membazir dan tidak keterlaluan, agar meneruskan amalan baik yang dilakukan semasa dalam bulan Ramadhan lalu, seperti banyakkan bersolat berjemaah, membaca Qur'an, bersedekah, bersolat malam dan sebagainya. Tetapi banyak telinga tidak lagi mahu mendengar, seolah ibadah dan kebaikan hanya khas untuk bulan Ramadhan, manakala Syawal adalah masanya untuk kembali semula kepada amalan sebelum Ramadhan. Dikatakan raya itu sebulan, malahan ada saja mereka yang terlajak mengadakan majlis raya selepas masuk bulan Zulkaedah, dengan alasan terlupa atau lain-lain alasan.

Aku bukan orang alim dan tidak layak mengajar. Apa yang kukatakan ini hanyalah sekadar peringatan untuk diriku sendiri. Mudah-mudahan Allah mengampuni kita atas kekhilafan dan keterlanjuran kita, sama ada yang kita sedari atau pun tidak kita sedari.

Sunday, February 13, 2011

Perginya Ibu

Ibu meninggalkan kami, pergi selama-lamanya dari hidup kami, dalam usianya sekitar 35 tahun. Kami masih belum mengenal hakikat kehidupan ketika itu. Umurku 8 tahun, kakak pula 10 tahun. Manakala adik-adik ku berumur 5 tahun dan adik bungsu yang baru dilahirkan.

Rasanya adik-adikku tidak mengingati langsung kenangan bersama ibu. Mereka masih terlalu kecil. Adik bungsu kami pula menyusuli ibu lapan tahun selepas itu, apabila terlibat dengan kemalangan di jalanraya semasa pulang dari sekolah. Barangkali kakak mempunyai banyak kenangan manis dan pahit bersama ibu, tetapi tidak lama selepas ibu meninggal dunia, kakak pula berhijrah meninggalkan adik-adiknya, untuk diperhambakan oleh satu keluarga yang bermanis mulut menjanjikan kebahagiaan serta bantuan. Tinggallah aku bersama-sama adik-adik, dibela oleh nenek, bersama datuk dan bapa kami.

Kehidupan kami dalam kemiskinan, tetapi tidaklah sampai terpaksa meminta-minta. Kehidupan di kampung masih boleh diteruskan walaupun kekurangan wang untuk membeli-belah barang-barang keperluan. Memadailah jika ada sedikit wang untuk membeli beras, jika sesebuah keluarga itu bukan pesawah. Selainnya, barang keperluan utama yang mungkin perlu dibeli ialah minyak tanah untuk pelita, gula, garam, dan sekali sekala untuk membeli ikan serta lain-lain lauk-pauk sekadar yang perlu.

Tidak ada bil elektrik untuk dibayar, kerana kampung kami belum menerima bekalan elektrik. Air minuman kami adalah air mineral asli, terus dari perigi yang digali, percuma, tak perlu bayar apa-apa. Jikalau kesuntukan wang, minyak masak tidak perlu dibeli, buah-buah kelapa tua boleh diparut dan santannya dibuat minyak. Ia berbau sedikit, tetapi kami tidak ada apa-apa kemewahan untuk dijadikan perbandingan.

Lauk-pauk boleh diperolehi dari hasil bumi. Banyak sayur-sayuran ditanam sendiri – mentimun, lobak, kacang panjang, jantung pisang, bayam dan berbagai lagi. Sayur-sayuran yang tumbuh sendiri juga banyak dan mudah diperolehi – pucuk paku, pucuk ubi dan sebagainya. Santan boleh didapati dengan percuma, pokok kelapa ada di mana-mana. Minuman kami adalah air kelapa yang segar, tanpa campuran gula atau perisa. Tanpa ais.

Sirih
Semasa hayatnya, ibu seorang yang amat gigih bekerja. Ibu bertanam sayur, tembakau dan berbagai tanaman lain. Ibu membuat kerja-kerja yang kebiasaannya dibuat oleh orang lelaki – mencangkul tanah, menyiram tanaman, memetik hasil, membawa ke pasar untuk dijual. Pada musim buah, ibu memungut buah-buahan untuk dijual. Ibu memanjat pokok langsat, duku, rambai, rambutan dan manggis, memetik buah-buahnya. Esoknya ibu membawa buah-buahan tersebut secara menjunjungnya didalam bakul, dengan berjalan kaki ke pasar. Dapat seringgit dua, boleh digunakan untuk membeli beras. Jika mendapat lebihan wang, ibu tidak lupa membeli makanan di pasar untuk anak-anaknya, kami bertiga, iaitu sebelum kehadiran adik bungsu kami.

Diluar musim buah, ibu mengutip kelapa, pisang, daun pisang dan daun sirih untuk dijual. Jika musim menanam tembakau, ibu turut melakukannya. Memproses daun tembakau agak remeh, ianya perlu dikeringkan sebelum dapat dihiris. Menghirisnya memerlukan kemahiran, supaya hirisannya halus. Selepas dihiris, daun tembakau perlu dijemur lagi hingga menjadi tembakau kering dan sedia untuk dijual atau digunakan.


Ibu tidak pernah bersungut atau mengeluh tentang kepayahan hidup. Dia selalu melambakkan kasih-sayangnya kepada kami, anak-anaknya. Ibu boleh membaca tulisan Thai. Sebelum tidur, jika ibu tidak terlalu kepenatan, dia sering membacakan buku cerita klasik Thai, yang penuh dengan kisah-kisah indah dan mengasyikkan. Sambil membaca, ibu menterjemahkannya ke bahasa yang lebih mudah kami fahami. Aku sentiasa menanti-nantikan tibanya waktu tidur, untuk mendengar pengisahan dari ibu sehingga tertidur dalam pelukan kasih sayangnya.

Selepas melahirkan adik bungsu kami, kesihatan ibu mula mengganggu. Dia tidak pulih-pulih dari sakitnya. Badannya terlantar di tempat tidur, mengerang kesakitan hampir sepanjang masa. Aku masih terlalu mentah untuk memahami kesengsaraan yang ibu tanggung, tetapi aku tahu ibu dalam kesakitan. Tak henti-henti dia mengerang dan meminta tolong, tetapi apa dayaku untuk membantu? Nenek, iaitu ibu mertua kepada ibu membantu merawat sekadar yang terdaya. Nenek pun sudah tua, tenaganya tidak seberapa. Kedua-dua orang tua ibu sudah lama meninggal dunia.

Daun tembakau
Barangkali ibu sakit kerana terlalu tidak menjaga kesihatannya semasa hamil. Dalam keadaan perutnya yang membesar, ibu terus melakukan kerja-kerja sehariannya yang lasak dan memerlukan tenaga lelaki. Malah, selepas bersalin, ibu tidak member perhatian terhadap kesihatannya. Beliau gigih mengendali sendiri akan keperluannya, barangkali kerana memikirkan kami yang masih kecil dan tidak berupaya membantu sangat.

Akhirnya ibu pergi jua. Tamatlah sengsara ibu di dunia fana. Tiada lagi tangisan kesakitannya. Tiada lagi airmata ibu yang membasah pipi cengkungnya. Dan tiada lagi aku mendengar kisah-kisah kayangan  yang dibacanya. Sebelum maut menjemput ibu, beliau sering tidak sedarkan diri buat beberapa lama.  Suatu hari, seseorang yang datang melawat mendapati mulut ibu bergerak-gerak seperti mengunyah-ngunyah sesuatu, dalam keadaan dia separuh sedar. Apabila diperiksa, didapati ada cebisan biskut dalam mulut ibu. Rupa-rupanya itu kerja kakakku, yang risaukan ibu mungkin kelaparan kerana sudah banyak hari tidak makan. Kakak menyuapkan biskut kering ke dalam mulut ibu, dalam keadaan ibu tidak sedar diri. Tetapi usaha kakak sia-sia sahaja, kerana ibu tidak tertelan makanan tersebut.

Setelah kerap sangat ibu pengsan, akhirnya ibu dibawa ke hospital. Tidak lama ibu di hospital. Tidak sampai semalaman. Jasad ibu dibawa pulang, tanpa nyawa lagi. Kami yang ditinggalkan hanya terpinga-pinga apabila dikejutkan pada tengah malam dan diberitahu “ibumu sudah tiada”. Aku tidak faham sangat bahasa berlapik sebegitu. Bagaimana mereka boleh mengatakan ibuku sudah tiada, sedangkan aku nampak badan ibu masih terlantar di atas pangkin di bawah bangsal depan rumah? Tapi aku kehairanan, kenapa ibu dibiarkan di bangsal? Kenapa tidak dibawa naik ke rumah? Kan ibu sakit?

Kakak datang memelukku. “Ibu kita sudah tiada, dik. Ibu kita sudah berada di alam lain. Dia sudah mati”

Aku masih terpinga-pinga. Apa maksud kakak? Ibu sudah mati? Apa akan berlaku seterusnya? Bila ibu akan naik ke rumah?

“Ibu sudah meninggalkan dunia ini, dik. Sudah tamat sengsara ibu. Esok atau lusa mayat ibu akan dibawa ke kubur”

Pada masa itu aku belum mengerti benar akan hakikat hidup dan mati. Aku belum faham benar akan hakikat akidah dan ketauhidan. Aku masih mentah, baru masuk darjah dua. Baru mengenal huruf. Tetapi kekosongan yang ditinggalkan ibu memberi ruang untuk aku meminati dunia pembacaan. Kemahiran membaca memberikan aku kebebasan untuk meneroka alam buku. Banyak betul khazanah yang dapat digali dari buku-buku yang dibaca. 

Saturday, January 22, 2011

Kunjungan Pertama ke Baitullah

Mutawif yang ditugaskan membawa kami ke Masjidil Haram adalah seorang pemuda Arab yang boleh berbahasa Melayu walaupun tidaklah fasih sangat.  Pertuturannya ada bunyi keindonesiaan, dan kadang-kala kami perlu mengambil sedikit masa tambahan untuk cuba memahami apa yang mahu disampaikannya.

Sebelum memulakan perjalanan ke masjid, beliau member taklimat di lobi hotel. Jarak dari hotel tidaklah jauh, dalam 500 meter sahaja. Namun begitu, memandangkan hari wukuf tinggal lebih seminggu sahaja lagi, Bandaraya Makkah telah dipenuhi jutaan jemaah dari merata dunia. Jalan-jalan raya dipenuhi jemaah yang berulang-alik antara  tempat kediaman mereka dengan masjid, selain singgah di kedai-kedai untuk mendapatkan barang keperluan atau cenderamata. Oleh demikian, mutawif menasihatkan jemaah supaya bergerak berkumpulan, terutamanya bagi mereka yang pertama kali menjejakkan kaki ke bumi suci ini. Mutawif juga memaklumkan bahawa kami akan mengikut laluan yang agak jauh sedikit, bagi mengelakkan kawasan pasar zing yang selalunya sesak dan sukar untuk dilepasi dengan lebih pantas.
Malam atau siang, kota Makkah tetap sibuk, lebih-lebih lagi pada musim haji

Kami yang masih tidak mahir dengan jalan-jalan dan lorong-lorong di Makkah mengikut sahaja dengan patuhnya. Khuatir juga, sekiranya kami terpisah dari rombongan dan tersesat dalam lautan manusia. Banyak juga cerita yang kami kutip semasa di tanahair lagi, mengenai ramai jemaah yang sesat, dan ada antara mereka tidak ditemui lagi sehinggalah tidak ketahuan di mana mereka kini, sama ada masih hidup atau telah meninggal dunia. Kami terima sahaja cerita-cerita sebegitu, tanpa banyak bersoal-jawab, sebaliknya menanam azam di dalam hati untuk sentiasa berjaga-jaga agar tidak terpisah dari kumpulan, serta berdoa kepada Allah agar kami dilindungi dari kepayahan.

Kami mula bergerak dalam pukul 1 pagi. Menurut mutawif, waktu ini paling sesuai, kerana dijangka jemaah belum memenuhi masjid. Masih ada lebih tigam jam lagi sebelum masuk waktu Subuh.  Dengan penuh semangat, kami melangkah menuju Masjidil Haram, sebilangan besarnya dalam keadaan berihram haji, lantaran penerbangan kami adalah kapal yang penghujung dan sudah hamper benar tibanya hari Wukuf.

Mutawif berjalan di hadapan, sambil memberi beberapa panduan dan peringatan, sekiranya ada antara kami yang terpisah dari kumpulan apabila berada di masjid kelak, apa yang patut kami lakukan, laluan mana yang perlu kami ikuti dan apakah tanda-tanda laluan yang patut kami perhatikan untuk kembali ke hotel. Beliau memaklumkan, kami memasuki Masjidil Haram melalui pintu Babus-Salam , mengikut sunnah yang dilakukan nabi Muhammad saw.

Kelihatan sahaja bangunan Masjidil Haram yang tersergam, dengan dikerumuni ribuan jemaah, kebanyakannya berihram dengan kain putih, diterangkan pula oleh pancaran cahaya lampu suar terang benderang, hati aku teruja untuk segera mendekatinya. Airmata bersedia untuk dititiskan, sungguh sayu menerima ketentuan Allah yang menyampaikan juga aku ke masjid agung ini. Langkah kami dipercepatkan lagi, mengharungi arus manusia, yang berbagai-bagi ragam dan karenah. Ada yang asyik bercakap-cakap sesama mereka, tidak peduli jika mereka menghalang laluan orang lain, ada yang menolak-nolak dari belakang, walaupun orang yang di hadapan sudah tidak ada ruangan untuk terus maju, ada yang berjalan berbaris-baris seperti keretapi, tidak mahu terputus rantaian mereka dan bersedia merempuh apa jua halangan di hadapan mereka, ada pula yang mundar-mandir sambil menghulurkan tangan, menadah sedekah serial dua dari jemaah yang mahu memberi.
Hidup melarat, kulit hanya membaluti tulang, mengharap simpati insan lain...
Rupa-rupanya telahan mutawif agak tersasar. Sudah ramai jemaah tiba di Masjidil Haram. Dari luar, sudah kelihatan jemaah berpusu-pusu menuju pintu masuk. Ramai juga yang mula menghampar sejadah di ruang-ruang kosong di luar masjid. Sukar untuk kami semua duduk setempat, kerana ruang-ruang kosong yang ada hanya boleh diselit oleh beberapa orang sahaja. Sudah pasti kumpulan kami dari Maktab 82 perlu berpecah-pecah kepada kumpulan yang lebih kecil.


Semasa mengikuti kursus bimbingan tempohari, ada ustaz memberitahu, apabila masuk Masjidil Haram, jangan ditinggalkan kasut atau selipar di luar masjid. Masukkan alas kaki ke dalam uncang kasut dan letaklah di rak-rak kasut yang disediakan. Rak-rak kasut dinomborkan, dan kita perlu mengingati nombor tersebut untuk mengambil kembali uncang kasut masing-masing kelak. Aku tidak member perhatian mengenai perkara itu semasa berkursus, dan menganggap ianya perkara remeh. Jadi aku tidak tahu, rupa-rupanya rak-rak kasut yang dimaksudkan tersebut adalah berada di dalam masjid, di merata-rata lokasi, dan bukannya terletak di pintu masuk sahaja, sebagaimana di tanahair.


Oleh kerana aku bayangkan rak-rak kasut hanyalah tersedia di kawasan pintu masuk, maka sebaik sahaja mendekati tangga yang menuju ke pintu masuk ‘Babus-Salam’, aku membuka selipar yang dipakai dan memasukkan ke dalam uncang kasut. Isteriku juga berbuat demikian. Aku meminta uncang kasutnya, untuk kusimpan bersama. Aku ikat kedua-dua uncang kasut kami, menjadi satu dan mencari-cari rak kasut untuk menyimpannya, tetapi tidak kelihatan. Lantas aku memutuskan untuk meletakkan di satu sudut tepi dinding, di belakang tangga. Insya Allah, mudah untuk aku mengambilnya semula, memandangkan kedudukan ‘sudut’ tersebut agak jauh dari laluan jemaah keluar masuk, iaitu di bawah tangga, dan rapat ke dinding masjid.

Kami masuk beramai-ramai dengan menaiki tangga yang lebar itu. Rupa-rupanya tangga itu membawa kami naik ke laluan di atas tempat orang saei. Kami melintasi jejantas itu, sambil diperhatikan oleh pengawal-pengawal keselamatan masjid. Ada juga antara jemaah wanita diperiksa oleh pengawal perempuan yang berpurdah. Beg sandang mereka diseluk dan badan mereka diraba-raba. Tetapi tiada sebarang insiden buruk yang berlaku, kecuali seorang dua jemaah wanita yang kebetulan membawa gunting, maka gunting mereka diambil oleh pengawal.

 Kami menuruni tangga jejantas di dalam masjid, patuh mengekori sang mutawif. Sebaik sahaja kaki memijak lantai masjid, barulah aku nampak rak-rak kasut yang sememangnya banyak terdapat di merata tempat, di tepi-tepi tiang , sebelah laluan jemaah. Memangpun rak-rak itu dinomborkan. Senanglah mencarinya kelak. Jadi fahaman aku tersasarlah, rak-rak kasut berada di dalam masjid, bukan di pintu masuk. Tapi tak mengapalah, tempat aku campakkan uncang kasut tadi agak tersorok, tentunya tidak ada masalah untuk mengambilnya semula.


Tiba-tiba mataku terpaku, melihat satu objek yang selama ini tidak dapat kubayangkan dengan jelas. Objek yang menjadi tumpuan semua umat Islam, objek yang menjadi puncak perhatian semua – itulah Kaabah, tegak dan teguh berdiri di tengah-tengah medan yang berlantaikan marmar putih. Syukur, syukur kepada Allah yang Maha Pemurah, yang telah menyampaikan aku ke sini. Setelah sekian lama ianya hanya dalam impian, kini aku betul-betul berhadapan dengannya. Kaabah yang selama ini aku hadapkan muka apabila bersolat, kini dapat kulihat dengan mata kepala ku sendiri.

Air mata tidak tertahan lagi. Suaraku hilang, tidak dapat berkata apa-apa. Dalam keterujaan itu kami melangkah menuju dataran Kaabah untuk bertawaf. Dalam lautan manusia di dataran Kaabah, aku tenggelam dihimpit manusia-manusia yang perbagai ragam, pelbagai rupa dan pelbagai karenah. Isteriku mengekori dari belakang, sambil sebelah tangannya memegang kain ihramku. Ustaz sudah berpesan berkali-kali, ikat kain kemas-kemas, kerana pasangan kita akan bergantung pada kain kita supaya tidak terpisah. Peristiwa yang tidak sanggup kita saksikan mungkin berlaku, jika ikatan kain tidak kemas dan berlaku tarik-menarik semasa bertawaf. Alhamdulillah, tiada perkara seumpama itu berlaku kepada kami.

Pengalaman bertawaf untuk kali pertama ini akan kuceritakan di lain kesempatan, secara lebih terperinci, mudah-mudahan boleh member manfaat.
 Selepas selesai solat Subuh, ada antara kami yang meneruskan beribadah dengan membaca ayat-ayat suci al-Qur’an, ada pula yang bertawaf lagi. Ada juga yang mahu kembali ke hotel, mungkin kerana masih kepenatan. Aku dan isteriku memutuskan untuk kembali ke hotel, selepas berehat seketika dalam masjid.

Hari sudah siang, langit cerah tanpa awan. Suasana pagi dengan matahari mula menampakkan cahayanya. Kami menuju pintu yang kami laliu semasa masuk tadi, Babus-Salam. Ramai juga para jemaah bertumpu ke pintu itu untuk keluar. Di sebelah luar pula, kelihatan ramai manusia berkerumun di pintu tersebut, untuk memasuki masjid. Pengawal membantu dengan menghalang mereka dari luar, dan member laluan kepada jemaah yang mahu keluar dahulu.
Kami bergerak perlahan-lahan menuju pintu keluar. Tolak-menolak menjadi perkara yang tidak dapat dielakkan lagi, masing-masing cuba meloloskan diri ke depan. Kesabaran amat diperlukan dalam keadaan ini. Sabar, sabar…

Akhirnya kami dapat keluar juga. Tetapi keadaan di luar juga amat sesak. Sungguh ramai jemaah menunggu-nunggu untuk memasuki masjid. Aku perhatikan tempat aku campakkan uncang kasut kami pagi tadi. Semua tempat dipenuhi manusia. Tiada ruang kosong. Macamana kami nak pergi ambil uncang kasut kami? Aduh…!

Aku fikir kalau kami berdua cuba bergerak ke sudut di mana kami simpan uncang kasut kami tadi, mungkin agak susah, dan berkemungkinan kami terpisah oleh kerana ramainya manusia. Aku menyuruh isteriku keluar dahulu dan tunggu di satu menara lampu tinggi yang jelas kelihatan dari situ, sementara aku cuba dapatkan selipar kami. Rasanya aku boleh dapatkannya, tetapi mungkin terpaksa bertolak-tolak sedikit untuk meloloskan diri.

Sambil berdoa agar Allah mempermudahkan urusanku, aku mula berpusing ke arah tempat uncang kasut disimpan dan cuba bergerak ke situ. Sedikit demi sedikit aku bergerak melawan arus manusia yang sedang mendesak-desak untuk memasuki masjid. Tiba-tiba kakiku tersadong sesuatu. Aku memandang ke bawah dan aku seakan tidak percaya apa yang aku nampak. Memang aku tidak percaya, aku menggosok-gosokkan mata melihat semula. Memang betul, benda yang sama! Aku tunduk mengambilnya dengan pantas, sebelum badanku dipijak manusia… Itu dia, uncang kasut kami!!!

Aku tidak dapat menahan air mata, terharu dengan bantuan segera yang Allah berikan! Tanpa lengah-lengah, tanpa sebarang kesukaran, Allah memberikan semula uncang kasut kami kepadaku. Aku tidak tahu bagaimana ia boleh berada di situ. Itu urusan Allah, aku terima pertolonganNya dengan syukur yang teramat.

Aku segera memasuki arus manusia yang menuju keluar masjid dan mendapatkan isteriku. Dia jangka aku gagal mendapatkan uncang kasut kami.

“Tak boleh ambil ya? Tak mengapalah, kita beli saja selipar kat luar tu. Ada ramai orang jual selipar kat sana”

Aku mengunjukkan uncang kasutnya. Dia terpinga-pinga.

“Eh, dapat ambil ya? Cepatnya. Macamana dapat ambil?”

Aku senyum sahaja. Maha suci Allah yang Maha Mendengar dan Maha Mengasihani!

Thursday, January 13, 2011

Saat Terakhir Bapa

‘Dik, bapa sakit tenat. Kalau nak tengok, baliklah. Dia mungkin tak punya banyak masa lagi” Kakak memberitahuku melalui telefon, dalam aku leka menjalankan tugas di tempat kerja. Aku tidak terkejut kerana bapa memang sudah lama sakit, sudah beberapa kali masuk dan keluar hospital.

“Nantilah kak, saya nak kena bersiap ni, minggu depan saya nak kena outstation” sebenarnya aku dijadualkan ke Sepanyol, atas urusan kerja.

“Yalah, tapi kalau ada masa, baliklah sekejap tengok bapa. Dia pun ada sebut nama adik”

Aku memutuskan untuk pulang sebentar. Langsung memohon cuti dan terus ke Medan Tuanku, untuk membeli tiket bas.

Perjalanan bas ekspres ke Kota Baru mengambil masa lebih kurang 7 atau 8 jam, bergantung kepada pemandu bas dan juga keadaan bas, selain keadaan cuaca. Lazimnya tiada masalah kesesakan jalanraya. Sepanjang malam itu aku mengelamun panjang di dalam perut bas Ekspres Budaya. Apakah ajal bapa sudah tiba? Apakah aku boleh berbuat sesuatu untuk mengubah pendirian bapa? Untuk menukar kepercayaan bapa? Apakah aku ada kekuatan untuk membuka mulut mengajak bapa mengikut kepercayaan aku? Apa pulak kata kakak nanti?

Aku tiba di Kota Baru hampir masuk waktu Subuh. Aku memutuskan untuk solat di masjid sahaja, lalu terus menapak ke Masjid Muhammadi yang jaraknya boleh tahan juga dari setesen bas. Tiba di masjid, kelihatan jemaah-jemaah mula tiba untuk solat Subuh. Aku ke bilik air untuk membersihkan diri dan berwuduk.

Azan berkumandang memecah kesunyian pagi. Mendayu-dayu bunyinya, menambah rasa pilu. Apakah aku ada kekuatan untuk mengajak bapa kepada Islam? Apakah bapa akan member ruang untuk aku berdialog dengannya? Atau dia akan menolak mentah-mentah?

Selesai solat, aku menadah tangan memohon Allah member kekuatan dan kesabaran. “Ya Allah, berikanlah aku kekuatan untuk menyampaikan yang benar kepada bapa. Ya Allah, berilah kesabaran kepadaku untuk menerima apa jua takdirMu kelak”

Aku meninggalkan masjid, mengatur langkah di jalanraya yang mula sibuk dengan beca  motorsikal dan kereta. Aku pekakkan telinga dari mendengar kebingitan bunyi enjin dan hon pelbagai kenderaan. Fikiran aku tenggelam dalam lamunan; apakah yang mungkin akan berlaku nanti? Berupayakah aku menuturkan kata-kata pujukan kepada bapa? Marahkah bapa bila mendengar kata-kataku kelak?

Aku tenangkan hati, damaikan perasaan. Mudah-mudahan Allah mempermudahkan untukku. Tetapi aku juga amat khuatir akan kemungkinan segala yang aku harapkan tidak menjadi. Segala yang aku impikan tidak kesampaian. Namun aku cuba memujuk hati dan bertenang, sambil mengumpul kekuatan.

Masih terlalu awal, apabila aku tiba di perkarangan HBKB. Waktu lawatan untuk menziarah pesakit adalah jam 12:30 tengahari. Masih ada beberapa jam lagi. Aku tidak pula merasa lapar. Tiada selera untuk makan, sedang hati berkecamuk memikirkan apa yang akan kulalui sebentar lagi.

Aku berlegar-legar di perkarangan hospital, menunggu pintu ke wad-wad dibuka. Apabila penat, aku duduk dibangku-bangku yang masih kosong. Kemudian aku bangun semula, berjalan ke depan, ke belakang. Kemudian duduk semula. Sehinggalah jam menghampiri 12 tengahari, sudah ada beberapa orang datang menunggu bersamaku, tentunya untuk melawat keluarga atau rakan-rakan mereka. Tepat 12:30 pintu utama dibuka, masing-masing terus meluru masuk.

Aku mencari-cari wad dimana bapa dirawat. Ternampak kakak melambai-lambai, rupa-rupanya dia sudah berada dalam wad, menunggu bapa.

“Masuklah, bapa sedang tidur tu. Ada doktor sedang memeriksa bapa. Kak nak ke bilik air kejap”

Aku masuk. Seorang doktor Melayu sedang berdiri sambil menulis sesuatu pada fail rawatan pesakit yang nampak sungguh kurus. Muka pesakit itu cengkung, dan kelihatan dadanya turun-naik seiring nafas yang dihembus dan ditarik. Itulah bapaku yang sedang terlantar di atas katil. Tiada lagi kegagahan, melainkan kelemahan dan kemelaratan. Tiada lagi suara yang garau dan ceria, melainkan bisikan lemah dan suara mengerang dalam kesengsaraan.

“Assalamualaikum, doktor” Aku menyapa doktor yang bersongkok itu.

“Waalaikummussalam warahmatullahi wabarakatuh!” dia memandang aku. Mungkin agak kehairanan disapa oleh seseorang yang dia tidak kenali.

“Ini bapa saya” aku menjelaskan, sambil menunjuk kepada pesakit itu.

“Oh,” doktor senyum sambil menghulurkan tangan untuk bersalam denganku.

Agaknya dia mungkin tertanya-tanya, kerana pesakit yang dirawatinya itu seorang berketurunan Cina, sedangkan aku, anaknya, memberi salam pula.

“Saudara ni anak pakcik ni, yang duduk di Kuala Lumpur ya?” Doktor bertanya aku. “Ada kakak saudara beritahu saya tentang saudara”

Oh, jadi dia dah tahu la, fikirku. Kakak ku masih belum muncul semula.

“Doktor, boleh saya nak bercakap sikit?”

“Boleh, boleh”

“Boleh kita bercakap kat luar sana?” Aku menunjuk ke luar pintu wad.

“Boleh. Jom”

“Begini doktor. Saya ni dah masuk Islam, tapi bapa saya masih belum.”

“Ya, saya tahu. Kakak saudara ada bagitahu saya”

“Boleh tak doktor tolong saya?”

“Tolong macam mana? Kalau saya berupaya, insya Allah saya tolong”

“Boleh doktor pujuk bapa saya supaya dia masuk Islam”

Apakah pemintaan aku ini keterlaluan? Kurasa tidak. Rasanya doktor ini seorang yang agak alim orangnya. Bersongkok, Bercakap dengan suara yang lembut. Wajah yang jernih. Tiada kekasaran langsung.

Doktor itu terdiam sambil memandang mukaku. Aku terasa sebak. Airmata menunggu masa untuk dicurahkan.

“Saya rasa bapa saya sudah tidak ada masa yang panjang, doktor. Kalau doktor berupaya, doktor cubalah berdakwah kepada dia. Saya serahkan kepada doktor untuk membuat apa yang wajar”

“Insya Allah, insya Allah” doktor berkata perlahan. Suaranya seakan tersekat-sekat. Barangkali dia merasa sebak juga, seperti aku? Atau permintaan aku terlalu berat untuk dia tunaikan?
Kakak datang semula dengan membawa bungkusan plastik.

 “Nak makan tak, kakak belikan nasi kerabu ni” Kakak memang tahu aku sukakan makanan itu. 


Pastinya dia juga dapat mengagak aku belum makan apa-apa lagi, sejak dari pagi.

“Kejap lagi la, kak. Nak tengok bapa dulu” Aku memandang doktor yang masih disitu.

“Sila, silakan saudara. ” Doktor mempersilakan kami masuk semula ke wad. Aku menghampiri katil bapa.

“Bapa” aku panggil bapa. “Bapa tidur ke?”

Bapa mencelikkan mata apabila mendengar suara anaknya. Dia memanggil namaku.

“Macamana bapa sekarang?”

“Bapa sakit. Sakit sangat. Bapa rasa dah tak lama lagi, bapa akan pergi”. Air mata mula meleleh membasahi pipiku. Aku biarkan.

“Bapa, marilah masuk Islam pak, ikut agamaku” aku membisik ditelinga bapa. Suaraku tersekat-sekat.

“Bapa dah tua, dah tak sempat dah. Biarlah bapa ikut agama nenek moyang kita. Nak tukar pun tak guna dah” bapa bercakap dengan iringan batuk dan kahak dalam tekak.

Hmm… apa lagi dayaku? Aku bukannya pandai memujuk. Lagi pula ilmu aku tidak seberapa, apa yang patut aku cakapkan dalam situasi ini?

“Bapa, doktor tu baik, kan?”

“Doktor Melayu tu? Ya, dia baik orangnya, bercakap lemah lembut, tidak marah-marah. Dia pujuk bapa masuk Melayu, dia kata kalau bapa mati, terus masuk syurga. Tapi bapa kata bapa dah tua, dah terlambat…”

Oh, rupa-rupanya doktor itu sudah berdakwah kepada bapa sebelum ini.

“Bapa ikutlah cakap doktor tu, betul apa yang dia cakap tu”

“Tak, bapa dah tua, dah lama ikut agama nenek moyang kita. Bapa pun dah nak mati dah. Biarlah bapa mati dalam agama nenek moyang kita”

Kakak dari tadi mendengar sahaja percakapan aku dengan bapa. Kakak tidak membantah kata-kataku. Dia diam sahaja. Tetapi bapa masih sama seperti dulu. Masih utuh dengan kepercayaan nenek moyang.

“Makanlah dulu dik” kakak menghulurkan bungkusan nasi.


Bapa meninggal dunia beberapa hari selepas pertemuan itu. Dia pergi dalam keadaan masih berpegang kepada kepercayaan nenek moyangnya. Apakah doktor itu terus berusaha mendakwah bapa selepas aku meninggalkan mereka? Apakah dia berjaya mengubah pendirian bapa? Atau mungkinkah kata-kataku kepada bapa memberi kesan positif? Secara luaran, bapa mati dalam keadaan yang sama, pegangannya masih sama, dia tidak menunjukkan sebarang perubahan. Tetapi dalam hatinya, kita tidak akan tahu. Mungkinkah dia sudah beroleh taufik dan Hidayah dari Allah? Mungkinkah bapa beroleh setitik cahaya iman? Allah Maha Mengetahui.

Saturday, January 8, 2011

Sesat Yang Tidak Sesat

Telah lebih seminggu aku berada di Makkah, kebanyakan hotel yang menempatkan maktab jemaah haji Malaysia telah aku lawati. Asalnya aku bercadang membuat lawatan ke dua lokasi atau dua buah hotel setiap hari, tetapi kedudukan beberapa hotel yang agak jauh antara satu sama lain menyebabkan rancangan asal terpaksa diubah. Ada masanya pula aku terpaksa menunggu di sesebuah hotel untuk tempoh masa yang lebih lama kerana ketiadaan petugas yang sepatutnya berada di situ, sedangkan ramai jemaah yang mungkin memerlukan perkhidmatan dan bantuan. Sekiranya aku menunggu di sebuah hotel, bermakna aku tidak berpeluang untuk ke hotel lain pada hari tersebut, kecuali untuk sekadar singgah bertanya khabar kepada petugas kami di hotel lain. Waktu luang yang terbatas menyebabkan hanya pada masa-masa tertentu sahaja perkhidmatan kami amat diperlukan, sedangkan di waktu lain mungkin ada seorang dua sahaja yang datang singgah di kaunter kami.
Jemaah berduyun-duyun pulang selepas solat Subuh

Aku seboleh-bolehnya cuba untuk melawat dua hotel setiap hari, walaupun untuk sebentar, supaya kesemua 15 hotel jemaah muassasah Malaysia dapat aku lawati sekurang-kurangnya sekali setiap minggu. Rutin ini aku amalkan kecuali bila aku terlalu penat disebabkan melawat hotel yang agak jauh, dan juga jika kesihatan kurang baik, kerana menjaga kesihatan perlu diutamakan agar tidak melarat menjadi lebih teruk. Pergerakanku secara berjalan kaki. 

Mengikut perancangan, seorang petugas akan berada di setiap hotel. Tugas beliau adalah membantu jemaah membuat panggilan telefon, menggunakan kad prabayar. Mereka juga bertindak sebagai agen menjual kad prabayar tersebut. Mereka diupah berdasarkan jumlah jualan kad, dan mereka seharusnya mengutamakan perkhidmatan, yakni membantu jemaah membuat panggilan, dan dengan bantuan tersebut, insya Allah jemaah akan membeli kad prabayar dari mereka untuk membuat panggilan tersebut. Tak mengapalah kalau jemaah menggunakan kad yang telah dibeli terlebih awal di tanahair, kerana bantuan yang ikhlas pasti beroleh balasan kebaikan jua dari Allah Taala.

Petuas-petugas kami terdiri dari anak-anak muda keturunan Thailand dan Malaysia yang dilahirkan dan membesar di Makkah. Ibu-bapa mereka kebanyakannya telah berhijrah ke Makkah pada zaman muda mereka, berumah-tangga dan berkeluarga di sana. Anak-anak mereka fasih berbahasa Arab dan boleh berbahasa Melayu dialek Pattani, yang bunyinya seakan-akan loghat Kelantan.

Petugas-petugas ini mengambil peluang pada setiap musim haji untuk mencari pendapatan tambahan dengan membuat berbagai kerja, seperti menjadi pemandu pelancung bagi jemaah yang mahu berziarah ke tempat-tempat lawatan di sekitar tanah suci. Ada juga antara mereka menjadi mutawif dan bertugas dengan pakej-pakej haji. Bagi yang berminat bertugas dengan kami, mereka akan ditempatkan di sebuah hotel tertentu. Kadang-kadang mereka ini membuat banyak kerja sambilan pada satu masa, menyebabkan ada kalanya mereka tidak datang bertugas di hotel yang telah ditentukan. Maka menjadi tugas akulah untuk memastikan hotel-hotel yang tidak ada petugas itu diganti dengan petugas lain, atau aku mengambill-alih tugas tersebut untuk beberapa jam terutamanya pada masa-masa yang agak sibuk.

Kebiasaannya masa paling utama bagi jemaah membuat panggilan telefon ialahselepas waktu Subuh sehingga jam 9 pagi, kemudian bersambung pula antara jam 11 pagi sehingga hamper masuk waktu Zohor. Waktu-waktu lain agak kurang sibuk kerana masa yang terluang agak pendek. Misalnya selepas Zohor, kebiasaannya jemaah terus berada di masjid menunggu waktu Asar lantaran tidak mahu mengharung panas terik matahari untuk balik ke hotel. Antara waktu Asar sehingga Isya’ pulak, masa terlalu pendek dan kebanyakan jemaah memberi perhatian kepada ibadah mereka. Selepas solat Isya’, waktu di tanahair telah larut malam, jadi hanya sebilangan kecil jemaah yang membuat panggilan.

Antara deretan set telefon yang disediakan oleh pengurusan Hotel Mubarak
Kebiasaannya aku membuat lawatan ke hotel-hotel selepas sarapan pagi, lebih kurang jam 8. Berjalan kaki ke hotel yang mahu dilawati boleh mengambil masa sehingga lebih hamper sejam, jika kedudukan hotel itu agak jauh.  Jika didapati petugas belum tiba dihotel yang aku lawati itu, aku akan menunggu sehingga dia tiba, sambil membantu para jemaah yang memerlukan, untuk membuat panggilan. Sebahagian jemaah tidak memerlukan bantuan kami, malahan mereka pun sedia membantu rakan jemaah lain untuk membuat panggilan. Tetapi bagi sesetengah jemaah, mereka perlukan bantuan kami setiap kali mahu menghubungi tanahair. Tak mengapalah, mudah-mudahan bantuan kami memberikan keceriaan kepada mereka, insya Allah.

Pagi itu aku memutuskan untuk mengunjungi hotel yang agak jauh kedudukannya dari Masjidil Haram. Aku dimaklumkan jaranya hampir 1 km dari tiang pagar luar masjid. Pada masa itu kebanyakan hotel adalah dalam lingkungan antara 300 meter hingga 1 km sahaja dari masjid. Tetapi pada tahun ini nampaknya lebih banyak hotel berkedudukan lebih 1km dari Masjidil Haram. Aku tiba ke Hotel Mubarak buat pertama kalinya pada pagi itu, selepas berjalan kaki selama lebih-kurang 40 minit dari Masjidil Haram. Kalau dikira jarak sebenar antara hotel yang aku diami dengan Hotel Mubarak tersebut, jarak keseluruhannya hamper 2km. Tidaklah jauh sangat, tetapi berjalan kaki tidak boleh laju kerana ramainya para pejalan kaki lain yang berduyun-duyun balik ke hotel masing-masing, atau baru keluar untuk menuju ke stesen pengangkutan awam bagi mendapatkan kenderaan menuju miqat untuk berihram umrah. Ramai juga dikalangan jemaah yang menyelusuri jalan sambil mencari-cari barangan cenderamata untuk dibeli bagi dibawa balik ke tanahair kelak.

Petugas kami ada di situ. Namanya Mahmoud, anak muda keturunan Thailand, daerah Patani yang dilahirkan dan membesar di Makkah.

“Assalamualaikum” aku menyapa Mahmoud yang sedang duduk di kaunter.
“Waalaikummussalam warahmatullah” dia senyum.
“Saya Mustafa, dari Malaysia. Adik ni nama apa?”
“Sayo Mahmoud” dia menjawab, dengan loghat Pattani.
“Apa khabar Mahmoud, ada apa-apa masalah?”
“Takdok, takdok apo-apo masaaloh. Sumo molek belako”
Nampaknya saya tak boleh gunakan bahasa baku, janggal pulak bunyinya bila bercakap dengan Mahmoud ni. Saya tukar ke loghat Kelantan.
“Rama dok jemaah ssini?”
“Rama jugok abe, hotel ni penuh doh, sapa belako doh. Ado duo ribu lebih dok ssini” jawab Mahmoud.
“Telepong ado masaaloh dok? Buleh panggil?”
“Buleh, takdok masaaloh. Kade-kade sibok sikit, tok de nok tulong, kalu rama jemaah maghi.”
“Ado berapo butir telefon? Sapo pase?”
“Ado lape butir, hotel pase belako.”
“Oh, baguh la kalu mace tu”

Aku memeriksa telefon-telefon yang dipasang di hotel tersebut, satu persatu. Memang ada lapan talian dan kesemuanya berfungsi. Alhamdulillah, sudah tentu tiada  masalah bagi jemaah di hotel ini untuk membuat panggilan.

Mahmoud menemani aku memeriksa set-set telefon sambil menguji membuat panggilan, sementara tidak ada jemaah yang datang untuk membuat panggilan. Barangkali masih terlalu awal. Mereka mungkin masih bersarapan pagi atau telah keluar ke Tan’aim untuk berihram umrah.

Tiba-tiba seorang pekerja hotel yang menggamit tangannya kea rah kami sambil berkata sesuatu dalam bahasa Arab. Aku memandang Mahmoud, “apa dia kata tuh?”
“Dio panggil abe gi ddepe tuh, ado ore sesat”

Laa… kenapa pulak dia panggil aku, kalau ada orang sesat pun? Aku bukan orang sini, aku sendiri pun bukalah mahir sangat dengan kedudukan tempat-tempat di sini.

Aku bersama Mahmoud ke depan, dekat kaunter hotel. Aku dapati ada seorang seperti orang Arab, masih muda, berusia dalam lingkungan dua puluhan, sedang mendorong kerusi roda yang dinaiki seorang lelaki yang nampak agak berusia. Pekerja hotel berkata sesuatu kepada aku dan Mahmoud. Aku memandang Mahmoud, menunggu penjelasan beliau.

“Dio kato, ore ni sesat. Dio tok tahu dudok hotel mano. Ore Arab tu atar kor hotel ni pasa dio napok bedero Melesia, serupo denge dale kad hok pokcik tu paka”

Aku menghampiri pakcik atas kerusi roda. “Ada apa pakcik?”
“Pakcik sesat ni. Pakcik tak tahu nak pergi mana, nasib baik orang Arab ni tolong hantar”
“Pakcik datang dengan siapa? Anak-anak pakcik? Atau isteri pakcik?”
“Pakcik datang sorang saja. Biasanya pakcik naik teksi pergi masjid, lepas tu naik teksi jugak balik hotel. Tapi tadi tak ada teksi, pakcik tak larat nak berjalan, pakcik pun tak tahu nak pergi ke mana dah. Pakcik tak ingat nama hotel pakcik” pakcik itu menjelaskan. Suaranya agak sebak.
“Biasa ke pakcik pergi masjid dengan teksi?”
“Ya, pakcik pergi dengan teksi.”
“Tak pernah sesat?”
“Tak. Hari ini saja sesat, sebab pakcik tak jumpa teksi yang pakcik biasa naik”
“Hmm… pakcik ingat tak nama hotel pakcik tu?”
“Tak, pakcik tak tahu” suaranya makin hiba.
“Pakcik ada tak kad yang Tabung Haji bagi?”
“Ada, ni ha. Pakcik tak pernah tinggal kad ini” Dia tunjukkan kad nama kepadaku.
Aku baca maklumat pada kad tersebut.

“Laa… pakcik duduk kat hotel ini la! Pakcik dah sampai hotel pakcik nih, pakcik tak sesat pun!”
“Oh ya ka? Alhamdulillah, alhamdulillah. Terima kasih nak…” Berderai air mata pakcik, barangkali tangisan kesyukuran. Dia memeluk aku.

Tiba-tiba pekerja hotel itu mendekati kami dan berkata sesuatu. Aku panggil Mahmoud. “Mud, dio kato gapo pulok tuh?”
“Dio kato, ore hok atar pokcik tu mitok upoh”
Isy… ingatkan dia nak tolong, rupanya ada udang disebalik batu. Macam mana ya? Aku pulak tak bawa duit, ada beberapa rial sahaja dalam poketku. Tak dapek nak nolong nih.

“Pakcik, orang Arab tu nak mintak upah..” aku memberitahu pakcik dengan teragak-agak. Rasa tak patut pulak buat macam tu. Patut aku pinjam saja duit dari Mahmoud untuk tolong bayarkan upah mat Arab tu.
“ya, ya. Memang pakcik nak upah dia. Tak patutla kalau tak bayar, dia bersusah-payah hantar, jauh juga dia tolak kereta ni. Dia pun belum minum tuh” pakcik menyahut. Macamana dia tahu budak tu belum minum?
Mahmoud sedang membantu seorang jemaah membuat panggilan 
“Tadi tu dia kata dia nak pergi minum, tapi dia jumpa pakcik tengah sesat, dia kata dia tolong hantar pakcik dulu”

“Err.. pakcik ada duit tak, nak bayar upah dia?” Aku rasa tak patut betul sikap aku pagi itu. Kenapalah aku tidak berusaha cara lain untuk tolong bayarkan?

“Ada, ada. Memang pakcik dah sediakan duit untuk upah, untuk naik teksi, semua belanja macam tu pakcik ada sediakan” pakcik menjelaskan.

“Saya minta maaf pakcik, kebetulan saya tak bawa duit pulak pagi ni..”
“Takpa, takpa. Pakcik memang nak bayar dia”
 “Pakcik ada berjanji ke nak bayar kat dia masa dia nak tolong tadi?”
“Tak ada janji, tapi tak patut la kalau tak bayar. Dia dah bersusah-payah tolong” Ikhlas sungguh pakcik.
“Jadi nak bayar berapa rial pakcik? Tak payahlah bagi banyak sangat pakcik” Aku khuatir jugak, mana tahu pakcik ni terlalu murah hati dan membayar dengan banyak pulak.

“Pakcik nak bagi tiga puluh, kalau pakcik naik teksi pun banyak tu jugak kena bayar”

Aku tidak tahu nilai tersebut tinggi atau rendah, berpatutan atau mahal. Tetapi kalau memang nilai itu yang dia selalu bayar kepada teksi dan dia ikhlas untuk membayarnya, aku tak mahu campur tangan la, mudah-mudahan Allah melindungi pakcik dari kejahatan penipuan manusia.