Friday, September 23, 2011

Penghujung Syawal

Lama sungguh laman ini tidak dikemas-kini. Selepas ini kumahu pastikan sekurang-kurangnya ada satu kemas-kini setiap minggu. Mudah-mudahan Allah memberi kekuatan dan kemahiran untuk aku terus menulis demi menyampaikan sesuatu yang baik dan menyebarkan sesuatu yang indah.

 Hari ini 25 Syawal, minggu terakhir raya. Banyak bahagian-bahagian di pejabat mengadakan majlis sambutan hari raya. Seperti biasa, semua majlis penuh dengan aneka makanan, minuman dan bunyi-bunyian. Lagu-lagu raya dikumandangkan memenuhi ruang telinga. Masing-masing berpakaian indah, pakaian yang ditempah untuk hari raya lalu, atau mungkin juga ditempah khas untuk majlis hari raya di pejabat.

Gelak ketawa memeriahkan suasana. Sembang-sembang diselang-seli mengumpat mengata seolah hari ini dihalalkan segala. Lidah seakan tidak sedar menuturkan kata dusta, umpat dan cela. Bimbang pula kebajikan yang membuahkan sedikit pahala di bulan Ramadhan lalu akan terhakis dan terhapus dek kealpaan dan keterlanjuran menyambut dan meraikan Syawal yang berlebih-lebih.

Hari Raya bukanlah suatu hari yang aku tunggu-tunggukan. Tiada apa-apa kenangan istimewa bagiku. Selepas takbir raya dan solat sunat aidilfitri, bagiku selesailah rutin rasmi hari raya. Ziarah-menziarah rumah sanak saudara bukanlah sesuatu yang aku teruja sangat untuk melakukannya. Bagiku, ianya sekadar menyambung tradisi dan kebiasaan.

Di sana sini tazkirah dan khutbah mengingatkan agar berhemah dan jangan berlebih-lebih dalam menyambut dan meraikan hari raya. Ustadz mengingatkan agar tidak membazir dan tidak keterlaluan, agar meneruskan amalan baik yang dilakukan semasa dalam bulan Ramadhan lalu, seperti banyakkan bersolat berjemaah, membaca Qur'an, bersedekah, bersolat malam dan sebagainya. Tetapi banyak telinga tidak lagi mahu mendengar, seolah ibadah dan kebaikan hanya khas untuk bulan Ramadhan, manakala Syawal adalah masanya untuk kembali semula kepada amalan sebelum Ramadhan. Dikatakan raya itu sebulan, malahan ada saja mereka yang terlajak mengadakan majlis raya selepas masuk bulan Zulkaedah, dengan alasan terlupa atau lain-lain alasan.

Aku bukan orang alim dan tidak layak mengajar. Apa yang kukatakan ini hanyalah sekadar peringatan untuk diriku sendiri. Mudah-mudahan Allah mengampuni kita atas kekhilafan dan keterlanjuran kita, sama ada yang kita sedari atau pun tidak kita sedari.