Monday, October 3, 2011

Islam Yang Ku Kenal (1)

Dah 4 hb Zulkaedah, tahun 1432H. Alhamdulillah, Syawal sudah berlalu, kini bulan kesebelas takwim Islam sudah bermula. Selesailah acara-acara rumah terbuka, pejabat terbuka dan perbagai nama yang diberikan demi menyemarakkan sambutan hari raya aidilfitri, yang dikatakan oleh segelintir kita boleh disambut selamat sebulan.

Masih ada saja di beberapa tempat yang terus mengadakan sambutan raya aidilfitri, kemungkinan disebabkan tidak berkesempatan dilangsungkan dalam bulan Syawal, atau kerana tidak dapat menempah dewan untuk acara tersebut terlebih awal disebabkan tempahan penuh, atau apa jua alasan lain. Ada juga yang memberi nama lain kepada acara sambutan mereka, seperti ‘jalinan mesra’, ‘jamuan bersama pelanggan’ dan sebagainya.

Tentunya tidak ada salahnya mengadakan acara sambutan dengan dipenuhi aneka makanan dan minuman sambil boleh beramah mesra dan bertemu mata antara sesama kita. Cumanya, kalau majlis tersebut menjurus kepada pembaziran, makan dan minum berlebih-lebihan seolah-olah mahu mengganti semula kekurangan makan dalam bulan Ramadhan, mengenakan pakaian dan perhiasan seolah-olah setiap hari adalah 1 Syawal; rasanya sudah jauh menyimpang dari amalan yang kita sama-sama lakukan dalam bulan puasa dulu. Sudah lupakah kita kepada tarbiah puasa yang mengingatkan kita kepada mereka yang kesusahan dan kesukaran; agar kita dapat menjiwai kesengsaraan mereka, dengan mengekang nafsu makan dan minum diwaktu siang, serta mengerjakan ibadah demi ibadah terutama diwaktu malam? Sudah lupakah kita akan kelaparan saudara-saudara  seagama kita di Somalia dan lain-lain Negara yang digugat kebuluran?

Peri laku sebahagian kita umat Islam masa kini agak berbeza dengan tuntutan dan ajaran agama Islam yang aku baca dan fahami dari buku-buku, kitab-kitab dan jkuliah-kuliah agama yang kudengari. Semacam cakap lain, buat lain. Apa tidaknya, katanya Islam melarang pembaziran, tetapi ada di kalangan kita yang tidak merasa apa-apa salahnya melakukan pembaziran. Islam adalah kesederhanaan, tetapi di kalangan kita ada saja yang berlebih-lebihan dalam persiapan untuk menyambut hari raya. Payah juga untuk pendakwah cuba meyakinkan rakan-rakan yang bukan Islam, untuk menyampaikan dakwah dalam keadaan kontradik begini. Sememangnya kerja-kerja dakwah bukan mudah. Namun begitu, hak untuk memberi hidayah adalah terletak pada Allah jua. Walau sehebat mana ilmu berkaitan Islam dipunyai oleh seseorang itu, belum tentu dia menjadi seorang muslim yang baik. Sebaliknya walaupun dalam suasana penganut agama Islam yang bercelaru dalam mengamalkan ajaran Islam, bercampur baur dengan amalan-amalan yang terseleweng, Allah boleh sahaja memberi petunjuk kepada hambaNya yang Dia mahu, untuk melihat cahaya Islam yang sebenar – pandangan mata hatinya boleh menembusi kekalutan dan kemungkaran yang yang diamalkan oleh mereka-mereka yang mengaku Islam, dan dia dapat melihat keindahan Islam yang sebenar, lalu beroleh hidayah yang dianugerahkan oleh Allah. Tentunya mereka yang mendapat hidayah itu adalah mereka yang amat beruntung kerana terpilih oleh Allah subhanahu wa-taala untuk terhindar dari kesesatan.

Persoalan amalan penganut agama Islam yang tidak mengikut dan tidak mengamalkan ajaran Islam yang sebenar ini bukanlah perkara baharu. Semasa aku masih kanak-kanak dan zaman remaja dahulu pun, keadaannya tidaklah jauh berbeza. Walaupun pada masa itu sambutan hari raya tidaklah dibuat sepanjang bulan Syawal, sebaliknya hanya hari raya pertama (1 Syawal) sahaja diraikan dengan jiran-jiran Melayu menghantar kuih-kuih raya (terutamanya ketupat daun palas) ke rumah kami, kemeriahan raya segera berlalu selepas 1 Syawal, dan pesawah-pesawah mula kembali ke bendang, peraih-peraih kembali ke pasar, semuanya kembali ke rutin harian.  Namun dalam suasana sebegitu, ada juga segelintir ahli masyarakat yang mencuri-curi makan dan minum dalam bulan Ramadhan. Aku saksikan sendiri individu-individu tertentu yang datang berkunjung ke rumah kami, meminta air untuk membasahkan tekak dikala umat Islam berpuasa Ramadhan. Jika ada makanan, mereka juga mengambil kesempatan untuk mengisi perut mereka. Dengan selamba, mereka menyatakan bahawa mereka tidak tahan untuk berpuasa, dalam keadaan cuaca panas dan perlu bekerja di bawah terik matahari.

Namun begitu, aku amat bersyukur kerana dipilih oleh Allah yang Maha Pengasihani untuk mendapat hidayah dariNya. Allah memberi aku petunjuk bahawa apa yang aku lihat dalam masyarakat itu bukanlah perlakuan sebenar umat Islam yang dituntut oleh agama, sebaliknya mereka merupakan penganut-penganut Islam yang lalai, yang degil dan yang tidak perlu diteladani. Allah memberikan aku cahaya kebenaran yang menunjukkan apa tuntutan dan ajaran Islam yang sebenarnya, dan dapat membezakan ajaran Islam dan perangai penganut agama Islam yang tidak betul. Alhamdulillah, aku bersyukur akan kurniaan Allah dan berdoa mudah-mudahan berterus beroleh hidayah serta berada di landasan yang betul.

Tetapi perlakuan-perlakuan penganut agama Islam yang tidak betul itu memperlihatkan Islam sebagai agama yang bukan terbaik, jika dilihat oleh rakan-rakan bukan Islam. Bagaimana mereka mahu menghormati agama ini jika dilihat penganutnya bukanlah insan yang punyai kehormatan, kerana bergelumang dengan perbuatan yang tidak Islamik? Bagaimana mereka mahu suka kepada agama ini jika dianggap agama ini bukanlah agama yang perlu dihormati, lantaran perilaku buruk penganutnya? Perlukah kita menjadi penyebab kepada orang  bukan Islam untuk membuat anggapan salah terhadap Islam sebenar?