Tuesday, June 5, 2012

Catatan Perjalanan Kemboja - bhg 1


Perjalanan ini sudah disempurnakan sebulan lalu. Catatan ini sudah lewat. Kumohon maaf atas kelewatan ini, semoga masih member manfaat kepada yang membacanya.



Niatku menyertai rombongan ke Kemboja semata-mata untuk melihat negeri orang dan menziarahi saudara se agama di perkampungan yang berada di bawah pemerintahan kerajaan bukan Islam. Oleh kerana penganjur rombongan ini berhasrat membawa bersama bantuan berupa wang derma sumbangan selain pakaian dan makanan, aku gatal tangan menulis di dinding muka buku, sekadar mencuba kalau-kalau ada sahabat muka buku yang mahu dan sudi mengirim sumbangan.  Tempat yang akan kami lawati adalah satu perkampungan yang terletak di sebuah pulau dalam Sungai Mekong, diberi nama Kampung Kohsudin, dalam wilayah Kampung Cham. Dimaklumkan, dalam Negara Kemboja terdapat lebih-kurang 550,000 penganut agama Islam, yang merupakan 5% dari keseluruhan bilangan penduduk Kemboja. Dari jumlah tersebut, hampir 40% menetap di Kampung Cham.

Di Kohsudin, iaitu sebuah pulau yang jaraknya hampir sejam perjalanan dengan menaiki bot menyusuri sungai Mekong, terdapat sebuah masjid yang sudah siap dibena dengan dana sumbangan rakyat Malaysia. Di sebelah masjid tersebut, sebuah tahfiz diwujudkan, dengan bantuan dari NGO-NGO Malaysia. Lawatan kami sebenarnya adalah bersempena upacara perasmian tahfiz tersebut, iaitu setelah bangunannya siap dibena. Asalnya Perdana Menteri Hun Sen bersetuju untuk membuat perasmian, tetapi beliau tidak dapat hadir dan mewakilkan kepada anaknya, Hun Manet yang juga merupakan pegawai tinggi tentera Kemboja untuk menyempurnakan majlis tersebut.
Penganjur memaklumkan pihak tahfiz masih memerlukan sekitar RM30,000 untuk melengkapkan pembenaan bangunan dan kelengkapan. Jadi, kami berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan sumbangan dari sesiapa sahaja yang mahu memberi. Dengan hasrat demikian, aku menebalkan jari dan terus membuat catatan pada dinding muka buku, memaklumkan berkaitan perjalanan ini serta peluang untuk rakan-rakan membuat kebajikan jariah yang akan memulangkan pahala yang berterusan, insya Allah.

Makanan dalam penerbangan... kena tempah berasingan!
Sehingga seminggu sebelum perjalanan kami, aku masih belum menerima apa-apa sumbangan. Memang ada yang memberi ulasan, pujian dan janji untuk menderma, tetapi semuanya menjadi senyap selepas beberapa hari. Barangkali mereka sibuk, atau terlupa, atau berubah fikiran. Tak mengapalah, fikir ku. Aku tak tergamak pula untuk member ‘peringatan’ kepada mereka, bimbang dikatakan memaksa atau melebih-lebih pulak, sedangkan semua ini atas dasar sukarela, tanpa paksaan. Tetapi otak sebelah kanan mendesak supaya satu ‘peringatan lembut’ diberi, atau mesej asal diulang-tayang – manalah tahu ada yang memang betul-betul terlupa, atau tidak sempat membaca nota terdahulu. Maka, 4 hari sebelum perjalanan, aku catatkan sekali lagi perihal pemergian tersebut dan memaklumkan sesiapa yang mahu dan sudi memberi sumbangan untuk membangunkan tahfiz tersebut, aku sedia membawa sumbangan tersebut.


Phnom Penh - pandangan dari udara
Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh
Kali ini nota itu mendapat sambutan yang memberangsangkan. Pada hari yang sama, seorang rakan sekerja menghantar pesanan bahawa wang sebanyak RM100 telah dimasukkan ke akaun bank yang aku berikan, sebagai sumbangan beliau. Selang tidak lama kemudian, seorang lagi hamba Allah memaklumkan perkara yang sama, jumlah sumbangan RM200. Aku tidak mengenali nombor telefon penderma kedua ini, dan apabila pengesahan dibuat dengannya, memang dia mengesahkan kami tidak saling mengenali, cuma beliau mendapat makluman mengenai perjalanan yang bakal kami buat serta rayuan derma ini dari rakannya yang lain yang terbaca notaku dalam muka buku, dan Allah telah menggerakkan hatinya untuk member sumbangan. Alhamdulillah, tidak sia-sia usaha kedua yang aku lakukan.

Keesokan harinya, beberapa insan lagi turut menghantar pesanan memaklumkan mereka telah memasukkan wang sumbangan ke akaun, jumlah tertinggi RM500 dari dua individu. Seorang rakan lama menjanjikan untuk memberi sumbangan bulanan, sebagai sumbangan tetap dari keluarganya untuk tahfiz tersebut. Alhamdulillah, dalam masa kurang seminggu, Allah mengizinkan aku untuk Berjaya mengumpul sebanyak hampir RM2,000. Ini bukan usahaku, ini adalah takdir Allah yang menggerakkan aku untuk menulis nota di dinding muka buku dan membuka hati hamba-hambaNya yang terpilih, untuk memberikan sumbangan.

Perjalanan dengan Airasia lancar. Daftar masuk sudah dibuat terlebih dahulu, melalui internet. Di terminal penerbangan, kami hanya perlu daftar-masukkan beg-beg besar dan kotak-kotak mengandungi barang-barangan yang akan kami bawa untuk didermakan kepada saudaara-saudara Islam di sana, termasuk barang-barang makanan, pakaian dan sebagainya, selain pakaian-pakaian dan barang keperluan kami sendiri. Alhamdulillah, proses timbang-menimbang tidak menghadapi sebarang kesulitan. Jumlah berat yang ditempah untuk kesemua ahli rombongan kami (22 orang dari pejabat kami) dapat menampung keseluruhan berat kotak-kotak dan beg-beg tersebut. Jumlah keseluruhan peserta rombongan kami termasuk dari NGO-NGO lain, adalah 66 orang.
Teksi di LTAB Phnom Penh

Penerbangan AK1474 mengambil masa hampir 2 jam. Kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh jam 3:55 petang waktu tempatan, bersamaan 4:55 petang waktu Malaysia.

Proses imigresen tidak lama. Visa lawatan diberi secara automatic. Imej muka dan cap kesemua jari diambil oleh petugas imigresen, paspot dicop dan kami terus menuju ke lokasi mengambil bagasi. Lapangan terbang ini tidak sibuk. Beg-beg kami segera diangkut keluar dari perut kapalterbang. Beg-beg dan kota-kotak yang kami bawa berlabelkan ‘Sumbangan untuk Tahfiz Annur’ dan dapat melepasi pemeriksaan kastam tanpa perlu bersoal-jawab atau diperiksa isi kandungannya

Ketibaan kami disambut oleh Ust Ly Mousa, mudir tahfiz yang akan dirasmikan bangunannya. Ust Mousa adalah juga imam bagi penduduk kampung tersebut dan merupakan penggerak utama pembangunan Islam di kawasan beliau. Beliau anak tempatan dan boleh berbahasa Melayu.

Udara Phnom Penh tidak jauh bezanya dengan udara di Malaysia, tetapi kandungan pencemaran udara mungkin lebih baik dari kita. Cuaca tidak terlalu panas, matahari petang mulai suram. Di sini malam tiba lebih awal. Waktu Maghrib kira-kira jam 6 petang.

Dari Lapangan Terbang menuju pusat bandar
Beberapa buah teksi beratur menunggu penumpang. Terdapat juga tut-tut atau beca, tetapi bukan jenis yang dikayuh keperti yang terdapat di negara kita. Beca (atau tut-tut) di Kemboja menggunakan motosikal untuk bergerak. Tempat duduk penumpang adalah di belakang, ditarik oleh motosikal. Memang terdapat banyak motosikal di atas jalan-jalan di Phnom Penh. Kereta tidak banyak, tetapi kebanyak kereta adalah jenis kereta mewah. Topi keledar bukanlah keutamaan. Ada yang memakainya, ada yang tidak. Kadang-kadang hanya pemandu memakainya. Sebuah motosikal mungkin ditunggangi seorang, dua, tiga atau empat orang. Ada penumpang perempuan yang duduk mengiring. Tidak ada bas penumpang tempatan. Basikal pun tidak banyak kelihatan. Pemandu duduk di sebelah kiri, jadi perjalanan kenderaan adalah berlawanan arah berbanding kenderaan di jalanraya negara kita.

Dua buah bas menanti ketibaan kami. Perjalanan ke hotel tidak sampai satu jam. Itupun disebabkan pada waktu itu lalulintas agak sibuk kerana waktu pulang dari kerja. Tetapi amat jarang kedengaran bunyi hon. Tidak ada jeritan atau teriakan pemandu yang marah-marah, sebaliknya mereka saling member laluan dan menunggu dengan sabar.

Lampu isyarat tidak banyak, dalam perjalanan ke hotel, ada dua atau tiga persimpangan sahaja yang dikawal oleh lampu isyarat. Selebihnya, tanpa kawalan apa-apa, terpulang kepada budi bicara pemandu-pemandu. Tiada polis trafik. Pemandu member laluan tanpa menunjukkan kejengkilan atau emosi buruk. Untuk membelok ke dalam arus trafik, pemandu sekadar mengangkat tangan meminta laluan, masing-masing tidak menunjukkan sikap pentingkan diri sendiri.

Lebih 90% penduduk Kemboja berugama Buddha, tetapi tidak kelihatan kuil-kuil di sepanjang perjalanan ke hotel. Masjid atau gereja juga tidak kelihatan. Juga tidak kelihatan sebarang kedai makanan segera seperti KFC, McD dan sebagainya. Kedai mamak pun tidak ada. Tetapi kami tidak risau, Ust Mousa akan memastikan semua keperluan kami, makan minum, tempat tinggal akan diuruskan.

Beca Kemboja menunggu penumpang
Kami tiba di Hotel Paragon hampir jam 6 petang. Semua ahli rombongan diminta berkumpul semula jam 7 malam untuk pergi makan malam dan acara pertama kami, sessi berkenalan dan bersiar-siar dalam bot menyelusuri sungai Mekong.


Hotel tempat kami menginap
Lalulintas depan hotel

Taman di tebing Sungai Mekong - tempat penduduk Kemboja bersantai