Saturday, October 20, 2012

Catatan Perjalanan Kemboja - bhg 2


Penceritaan terhenti untuk beberapa bulan, atas sebab penumpuan kepada perkara lain yang meraih masa penulis. Kini pengkisahan disambung semula, semoga bermanfaat.

Warga Phnom Penh mengamalkan kehidupan sihat, melakukan riadhah di dataran pinggiran Sungai Mekong
Aktiviti hari kedua di Kemboja bermula seawal jam 4:30 pagi. Oleh kerana kedudukan Kemboja adalah sebelah timur dari Malaysia, matahari terbit lebih awal di sini. Perbezaan waktu dengan Malaysia ialah sejam lebih awal. Masuk waktu subuh sekitar jam 5 pagi atau lebih awal. Jam 6 pagi matahari sudah terbit.
Topi keledar untuk penunggang & pembonceng motorsikal tidak diwajibkan

Kami berkumpul di lobi hotel jam 6:30 pagi untuk meneruskan satu perjalanan yang panjang serta penuh aktiviti. Mula-mula sekali, kami dibawa bersarapan pagi di restoran. Setelah itu, rombongan terus dibawa ke salah satu tapak pembunuhan ribuan rakyat Kemboja yang dilakukan oleh rakan senegara mereka sendiri, apabila Kemboja dikuasai Khmer Rough di bawah rejim Pol Pot dahulu, iaitu kawasan Choeung Ek atau juga dikenali dengan nama Killing Field.




Menu sarapan pagi
Restoran tempat menyediakan sarapan kami di Phnom Penh

Killing Field

Di kawasan tersebut, tugu peringatan yang menempatkan beribu tengkorak dan cebisan tulang mangsa pembunuhan ditempatkan. Tempat-tempat pembunuhan dilakukan, kubur besar, tempat penyiksaan ditandakan untuk diambil kenangan bahawa telah berlaku suatu kekejaman terhadap umat manusia tanpa belas ihsan dan melampaui sempadan agama dan bangsa. Yang membunuh dan yang dibunuh adalah di kalangan mereka yang sama kaumnya, sama bangsanya, sama negaranya, tetapi berbeza matlamat kehidupan masing-masing. Yang berkuasa mahu menghapuskan semua yang dianggap musuh mereka, iaitu sesiapa sahaja yang disyaki berniat melawan mereka atau mempersoalkan tindakan mereka. Sesiapa sahaja yang pernah bertugas dengan rejim terdahulu dikira pembelot. Sesiapa sahaja yang menganggotai pentadbiran dahulu atau anggota tentera dahulu, atau anggota polis, pekerja awam, professional - kesemuanya disyaki dan dihapuskan. Sesiapa yang membantah atau mempersoalkan tindakan rejim, atau mengadu, atau jatuh sakit - semuanya dihapuskan.

Kawasan Choeung Ek yang terletak sekitar 16km selatan Phnom Penh, asalnya adalah sebuah dusun dan perkuburan Cina. Semasa Khmer Rough menguasai Kemboja, tempat ini dijadikan tempat menjatuhkan hukuman bunuh terhadap tahanan-tahanan yang dibawa dari Pusat Tahanan Tuol Sleng. Dalam tempoh antara tahun 1975 hingga 1979, dianggarkan lebih 17,000 tahanan menemui maut di sini. Cara mereka dibunuh bukan sahaja dengan tembakan, sebaliknya ramai juga dipukul sehingga mati atau ditanam hidup-hidup.

Selepas kejatuhan regim pimpinan Pol Pot tersebut, satu kubur besar ditemui di kawasan ini, menempatkan 8,895 mayat.

Banyak bukti-bukti dikumpul terhadap kekejaman rejim Pol Pot yang dikumpul dari laporan mereka yang sempat melarikan diri dan selamat tiba ke negara yang sudi menerima mereka. Banyak buku ditulis menceritakan penderitaan dan kekejaman itu. Kami menyaksikan menara tengkorak yang penuh dengan tengkorak serta tulang-tulang - bukti hilangnya ciri kemanusiaan di Kemboja pada tahun-tahun gelap mereka. Dianggarkan terdapat lebih 8,000 tengkorak disimpan di menara tersebut.


Menunggu utk masuk ke kawasan Killing Field. 3 orang berpakaian  seragam di kiri adalah anggota polis Kemboja yang mengiringi kami sepanjang perjalanan di Kemboja








Tengkorak manusia yang disimpan di menara peringatan
































Muzium Toul Sleng

Dari Killing Field, kami meneruskan perjalanan ke bekas penjara atau pusat tahanan Toul Sleng. Tempat ini asalnya sebuah sekolah, tetapi telah diubah-suai menjadi penjara pada zaman Pol Pot berkuasa. Bilik-bilik darjah menjadi sel-sel penjara, bilik siasatan dan tempat-tempat untuk menyiksa tahanan-tahanan. Ada bilik-bilik darjah yang diubah-suai dengan membina beberapa dinding menjadikan sel-sel kecil untuk mengurung tahanan. Tempat-tempat menyiksaan seperti rantai besi untuk membelenggu kaki dan tangan, katil yang mempunyai belenggu kaki dan tangan, rantai menggantung tahanan dengan kaki diikat dan kepala ke bawah, alat-alat untuk memukul dan menyiksa dan berbagai lagi dipamerkan semula. Gambar-gambar tahanan dengan nombor tahanan serta tarikh-tarikh mereka dibunuh atau jadual untuk membunuh mereka turut dipamerkan.

Gambar-gambar yang dipaparkan menceritakan dengan lebih jelas apa yang telah berlaku


















































.