Perjalanan
ini sudah disempurnakan sebulan lalu. Catatan ini sudah lewat. Kumohon maaf
atas kelewatan ini, semoga masih member manfaat kepada yang membacanya.
Niatku menyertai
rombongan ke Kemboja semata-mata untuk melihat negeri orang dan menziarahi
saudara se agama di perkampungan yang berada di bawah pemerintahan kerajaan
bukan Islam. Oleh kerana penganjur rombongan ini berhasrat membawa bersama
bantuan berupa wang derma sumbangan selain pakaian dan makanan, aku gatal
tangan menulis di dinding muka buku, sekadar mencuba kalau-kalau ada sahabat
muka buku yang mahu dan sudi mengirim sumbangan. Tempat yang akan kami lawati adalah satu
perkampungan yang terletak di sebuah pulau dalam Sungai Mekong, diberi nama
Kampung Kohsudin, dalam wilayah Kampung Cham. Dimaklumkan, dalam Negara Kemboja
terdapat lebih-kurang 550,000 penganut agama Islam, yang merupakan 5% dari
keseluruhan bilangan penduduk Kemboja. Dari jumlah tersebut, hampir 40% menetap
di Kampung Cham.
Sehingga seminggu sebelum perjalanan kami, aku masih belum menerima apa-apa sumbangan. Memang ada yang memberi ulasan, pujian dan janji untuk menderma, tetapi semuanya menjadi senyap selepas beberapa hari. Barangkali mereka sibuk, atau terlupa, atau berubah fikiran. Tak mengapalah, fikir ku. Aku tak tergamak pula untuk member ‘peringatan’ kepada mereka, bimbang dikatakan memaksa atau melebih-lebih pulak, sedangkan semua ini atas dasar sukarela, tanpa paksaan. Tetapi otak sebelah kanan mendesak supaya satu ‘peringatan lembut’ diberi, atau mesej asal diulang-tayang – manalah tahu ada yang memang betul-betul terlupa, atau tidak sempat membaca nota terdahulu. Maka, 4 hari sebelum perjalanan, aku catatkan sekali lagi perihal pemergian tersebut dan memaklumkan sesiapa yang mahu dan sudi memberi sumbangan untuk membangunkan tahfiz tersebut, aku sedia membawa sumbangan tersebut.
Di Kohsudin, iaitu sebuah pulau yang jaraknya hampir sejam perjalanan dengan menaiki bot menyusuri sungai Mekong, terdapat sebuah masjid yang sudah siap dibena dengan dana sumbangan rakyat Malaysia. Di sebelah masjid tersebut, sebuah tahfiz diwujudkan, dengan bantuan dari NGO-NGO Malaysia. Lawatan kami sebenarnya adalah bersempena upacara perasmian tahfiz tersebut, iaitu setelah bangunannya siap dibena. Asalnya Perdana Menteri Hun Sen bersetuju untuk membuat perasmian, tetapi beliau tidak dapat hadir dan mewakilkan kepada anaknya, Hun Manet yang juga merupakan pegawai tinggi tentera Kemboja untuk menyempurnakan majlis tersebut.
Penganjur memaklumkan pihak tahfiz masih memerlukan sekitar RM30,000 untuk melengkapkan pembenaan bangunan dan kelengkapan. Jadi, kami berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan sumbangan dari sesiapa sahaja yang mahu memberi. Dengan hasrat demikian, aku menebalkan jari dan terus membuat catatan pada dinding muka buku, memaklumkan berkaitan perjalanan ini serta peluang untuk rakan-rakan membuat kebajikan jariah yang akan memulangkan pahala yang berterusan, insya Allah.
Makanan dalam penerbangan... kena tempah berasingan! |
Phnom Penh - pandangan dari udara |
Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh |
Keesokan harinya, beberapa insan
lagi turut menghantar pesanan memaklumkan mereka telah memasukkan wang
sumbangan ke akaun, jumlah tertinggi RM500 dari dua individu. Seorang rakan
lama menjanjikan untuk memberi sumbangan bulanan, sebagai sumbangan tetap dari
keluarganya untuk tahfiz tersebut. Alhamdulillah, dalam masa kurang seminggu,
Allah mengizinkan aku untuk Berjaya mengumpul sebanyak hampir RM2,000. Ini
bukan usahaku, ini adalah takdir Allah yang menggerakkan aku untuk menulis nota
di dinding muka buku dan membuka hati hamba-hambaNya yang terpilih, untuk memberikan
sumbangan.
Penerbangan AK1474 mengambil masa
hampir 2 jam. Kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh jam 3:55
petang waktu tempatan, bersamaan 4:55 petang waktu Malaysia.
Proses imigresen tidak lama. Visa
lawatan diberi secara automatic. Imej muka dan cap kesemua jari diambil oleh
petugas imigresen, paspot dicop dan kami terus menuju ke lokasi mengambil
bagasi. Lapangan terbang ini tidak sibuk. Beg-beg kami segera diangkut keluar
dari perut kapalterbang. Beg-beg dan kota-kotak yang kami bawa berlabelkan
‘Sumbangan untuk Tahfiz Annur’ dan dapat melepasi pemeriksaan kastam tanpa
perlu bersoal-jawab atau diperiksa isi kandungannya
Ketibaan kami disambut oleh Ust Ly
Mousa, mudir tahfiz yang akan dirasmikan bangunannya. Ust Mousa adalah juga imam
bagi penduduk kampung tersebut dan merupakan penggerak utama pembangunan Islam
di kawasan beliau. Beliau anak tempatan dan boleh berbahasa Melayu.
Udara Phnom Penh tidak jauh bezanya
dengan udara di Malaysia, tetapi kandungan pencemaran udara mungkin lebih baik
dari kita. Cuaca tidak terlalu panas, matahari petang mulai suram. Di sini
malam tiba lebih awal. Waktu Maghrib kira-kira jam 6 petang.
Dari Lapangan Terbang menuju pusat bandar |
Dua buah bas menanti ketibaan kami.
Perjalanan ke hotel tidak sampai satu jam. Itupun disebabkan pada waktu itu
lalulintas agak sibuk kerana waktu pulang dari kerja. Tetapi amat jarang
kedengaran bunyi hon. Tidak ada jeritan atau teriakan pemandu yang marah-marah,
sebaliknya mereka saling member laluan dan menunggu dengan sabar.
Lampu isyarat tidak banyak, dalam
perjalanan ke hotel, ada dua atau tiga persimpangan sahaja yang dikawal oleh
lampu isyarat. Selebihnya, tanpa kawalan apa-apa, terpulang kepada budi bicara
pemandu-pemandu. Tiada polis trafik. Pemandu member laluan tanpa menunjukkan
kejengkilan atau emosi buruk. Untuk membelok ke dalam arus trafik, pemandu
sekadar mengangkat tangan meminta laluan, masing-masing tidak menunjukkan sikap
pentingkan diri sendiri.
Lebih 90% penduduk Kemboja berugama
Buddha, tetapi tidak kelihatan kuil-kuil di sepanjang perjalanan ke hotel.
Masjid atau gereja juga tidak kelihatan. Juga tidak kelihatan sebarang kedai
makanan segera seperti KFC, McD dan sebagainya. Kedai mamak pun tidak ada. Tetapi
kami tidak risau, Ust Mousa akan memastikan semua keperluan kami, makan minum,
tempat tinggal akan diuruskan.
Beca Kemboja menunggu penumpang |
Hotel tempat kami menginap |
Lalulintas depan hotel |
Taman di tebing Sungai Mekong - tempat penduduk Kemboja bersantai |
No comments:
Post a Comment