Wednesday, November 7, 2012

Catatan Perjalanan Kemboja - bhg 3

Selepas lawatan singkat ke Killing Field dan Pusat Tahanan Toul Sleng, kami meneruskan perjalanan ke destinasi utama lawatan kami, iaitu ke perkampungan penduduk Islam di Pulau Kohsuthin. Pulau tersebut terletak dalam wilayah Kompong Cham. Perjalanan dengan bot memudiki Sungai Mekong dari Kompong Cham mengambil masa hampir sejam.

Bumi yang kering kontang lantaran tiada hujan
Hanya sebelah laluan boleh diguna - kenderaan tidak boleh berselisih!
Di kampung inilah segala bantuan, derma, sedekah dan titipan yang saudara-saudara di tanahair berikan diserahkan untuk pembangunan kemudahan asas bagi saudara-saudara seagama kita. Kenapa Kemboja? Kenapa tidak kami dermakan kepada umat Islam di tempat lain, seperti Burma, Pattani atau Acheh? Semasa majlis penyampaian kutipan derma yang dilakukan pada malam pertama ketibaan kami di Phnom Penh, ketua rombongan Ust Azrol telah menjelaskan, ada beberapa sebab kenapa Kemboja menjadi pilihan. Pertamanya, umat Islam di sini merupakan kumpulan minoriti yang bernaung di bawah kerajaan bukan Islam dan tidak mendapat bantuan yang mencukupi dari pemerintah. Keduanya, dari segi bantuan dan sumbangan NGO, diperhatikan Kemboja agak ketinggalan dan kurang mendapat perhatian. Ketiganya, walaupun dalam keadaan dhaif, umat Islam di Kemboja dilihat amat menjaga agama mereka serta mengamalkan cara hidup Islam dalam kehidupan seharian walaupun telah hidup dalam zaman gelap serta sengsara semasa Kemboja dibawah rejim Khmer Rough dahulu. Pada masa tersebut semua agama tidak dibenarkan. Penganut agama Islam disiksa dan dipaksa melakukan berbagai perkara yang bercanggah dengan agama, seperti di paksa makan babi, kitab-kitab al-Qur’an dihina dengan digunakan untuk menyapu najis, alim ulama disiksa dan dibunuh dan berbagai siksaan. Namun akidah mereka utuh dan sebaik keadaan aman kembali, mereka bangun semula, memastikan agama mereka diletakkan ditempat sewajarnya semula. Lantaran itu, amat wajar kita menyokong mereka dengan memberi sumbangan yang termampu, mudah-mudahan usaha kita diterima Allah dan beroleh keberkatan darinya.

Masih belum siap, tetapi dibuka untuk pengguna
Perjalanan kami akan mengambil masa dalam lima jam dengan bas untuk tiba di Kompong Cham. Sepanjang perjalanan itu, tiga orang anggota polis Kemboja mengiringi kami. Ini adalah bagi memastikan keselamatan kami dari kemungkinan gangguan penyamun-penyamun di dalam perjalanan tersebut, yang melalui perkampungan kecil, pekan, sawah & ladang yang kekeringan serta sekali sekala hutan dan semak belukar. Perjalanan bukanlah di atas lebuhraya berturap sebaliknya lebih banyak melalui jalan tar yang berlobang, jalan tanah merah dan berdebu serta berpuluh kilometer melalui jalang sempit yang sedang dalam pembinaan.  Walaupun keletihan, agak mustahil untuk melelapkan mata dalam perjalanan kerana pergerakan bas yang tidak lancar, melompat-lompat atau mengiring ke kiri dan ke kanan kerana mengelak lobang.
Kena mengalah apabila ada kenderaan datang dari depan

Bergerak dalam debu

Ada kalanya sehingga hilang pandangan


Singgah di stesen minyak untuk sesiapa yang perlu melepas hajat


Bas singgah sebentar di pekan Kompong Cham untuk memberi peluang sesiapa yang mahu menukar wang kepada matawang Kemboja. Kami dimaklumkan, sebenarnya matawang USD diterima untuk semua urusniaga, jadi tidaklah perlu menukar ke Riyel, matawang Kemboja. Tetapi pengalaman seterusnya ketika membeli belah di pasar Kemboja, saya dapati ada masanya penggunaan matawang Riyel lebih menguntungkan, dari segi pertukaran matawang.


Pembangunan tidak ketinggalan, di sana sini ada pembinaan

Pekan Kompong Cham 


Add caption

Menukar wang Riyel

Kedai emas... nampaknya di sini pun kaum Cina menguasai perniagaan

Kami tida di jeti ketika matahari sudah mula tergelincir, sekitar jam 3 petang. Semua beg dan kotak-kotak berisi barangan makanan, pakaian dan lain-lain yang akan diserahkan kepada saudara kita di Kohsuthin diangkut ke dalam dua buah bot yang sedang menunggu. Kedua-dua bot sarat dengan muatan barangan yang kami bawa, termasuk beg-beg pakaian kami.  Bot tidak menunggu lama, sebaik sahaja semua diangkut ke dalam bot, ianya segera bergerak menuju destinasi.



Membawa beg menuju jeti

Bot menunggu kami

Sarat dengan muatan

Lebih muatan...!

Sungai Mekong yang belum tercemar

Bot orang kampung

Pegawai polis yang mengiringi kami

Menghampiri destinasi



Apabila menghampiri Pulau Konsuthin, dari jauh sudah kelihatan berpuluh-puluh atau mungkin mencecah ratusan manusia, menunggu ketibaan kami di tebing. Sebaik bot ditambat, kami segera mencapai beg masing-masing dan bergerak turun. Mana-mana yang berupaya, membawa kotak-kotak bersama, tetapi sebaik sahaja memijakkan kaki ke tebing sungai, beg-beg dan kotak-kotak yang kami bawa segera disambut oleh mereka yang menunggu ketibaan kami. Anak-anak muda menaiki bot dan menurunkan barang-barang lain yang masih tertinggal. Mereka mengalu-alukan ketibaan kami dengan bersalam-salaman dan berpelukan, tanda eratnya persaudaraan Islam. Mereka mengatakan sesuatu, sambil mengangguk-angguk dan penuh senyuman. Bahasanya tidak saya fahami, tetapi jelas sekali mereka mempamerkan kegembiraan menerima kami sebagai tetamu dan membantu membimbing kami  memanjat tebing sungai serta membawa beg-beg kami.

Sepanjang pendakian tebing, dari jeti bot sehingga ke atas tebing sungai, dimana tersergamnya masjid Annur, mereka berbaris menyambut kami, berebut-rebut untuk bersalam dengan penuh ceria. Hati amat terharu dapat memijakkan kaki ke bumi Konsuthin ini, dapat bertemu saudara kita yang telah tertinggal jauh kebelakang dari segi kemudahan asas, tetapi tidak ketinggalan langsung dari segi amalan dan kemasyarakatan.  Kami seolah-olah tetamu agung, sambutan seumpama menyambut pembesar Negara dengan keriuhan persediaan tempat untuk upacara pelancaran yang akan dilakukan esok.



Mereka menunggu ketibaan kami

Bersedia untuk membantu mengangkat barangan kami

Rumah Hj Mousa agak besar. Ianya menjadi tempat persinggahan dan tempat menginap tetamu-tetamu yang datang dari merata tempat, berkunjung ke sini. Mana-mana NGO atau kumpulan persendirian yang datang menziarah, tiada tempat lain untuk mereka menginap, sama ada di masjid atau di rumah Hj Mousa. Tingkat atas diperuntukkan kepada kumpulan wanita, manakala kaum lelaki melepak di ruang bawah.

Diperkarangan kawasan rumah beliau, terdapat tiga atau empat kanopi terpasang, dengan meja yang tersedia dengan hidangan nasi dan lauk-lauk, berupa sup dan daging bakar. Kami disuruh menjamu selera dahulu, sebelum membuat apa-apa aktiviti lain. Sebenarnya kami belum memunaikan solat Zuhur dan kami berniat untuk melakukan jamak ta’khir. Waktu asar sudah masuk, tetapi perut lapar dan makanan pula sudah terhidang. Maka, kami mengambil nasihat ustaz, supaya mengisi perut dahulu.


Penduduk Kampung Kohsuthin bergotong royong membuat persiapan 
Haji Mousa (berdiri)

Add caption

Di sebelah kiri, kami lihat sebuah masjid berdir teguh, dengan satu bangunan sekolah yang baru siap di depannya. Itulah bangunan sekolah atau maahad tahfiz yang diusahakan dengan bantuan dari NGO-NGO dan badan kebajikan dari Malaysia. Bangunan tersebut telah siap, tetapi masih banyak kelengkapan yang diperlukan, seperti memasang pintu dan tingkap, mengecat, kerusi, meja dan sebagainya. Wang kutipan yang sahabat-sahabat dermakan melalui rayuan saya di Facebook, sebanyak hampir RM5 ribu insya Allah akan digunakan untuk menampung sebahagian kos tersebut, mudah-mudahan ianya menjadi amal jariah fi-sabilillah dan berkekalan pahalanya, kerana membantu dalam menyediakan kemudahan untuk pengajian tahfiz. Di perkarangan atau lapangan di dalam kawasan masjid dan bangunan tahfiz tersebut, beberapa khemah telah dipasang dan kerusi-kerusi diatur. Ramai kanak-kanak dan orang-orang kampung sedang bantu-menbantu mengemaskan dan mempersiapkan tempat tersebut untuk upacara esok hari. Suasana seumpama pesta keramaian dengan berbagai pengumuman dan pengucapan yang dipancarkan menerusi sistem siaraya yang mungkin sedang diuji, selain suara-suara orang ramai bercakap dan memberi arahan kepada sesama mereka.

Di sebelah kanan, terdapat beberapa buah rumah penduduk. Sepanjang laluan tersebut, kami lihat operasi masak memasak, dengan beberapa buah kawah besar di atas dapur di atas tanah, berisi lauk-pauk yang sedang dimasak. Kami yang belum makan tengahari, segera merasa lapar. Tambahan pula cuaca panas tengahari tersebut, kalaulah dapat menghirup air yang sejuk, sungguh menyamankan!

Penyambut kami meminta kami terus ke rumah Hj Mousa, tuan rumah kami di Kohsuthin. Hj Mousa menunggu kami di rumahnya yang terletak tidak jauh dari kawasan masjid. Beliau merupakan pemimpin masyarakat di situ. Beliau juga adalah Mudir bagi tahfiz yang akan dirasmikan bangunannya esok. Beliau juga adalah Iman Daerah Konsuthin serta bertindak sebagai Pengarah Pertubuhan Yayasan Pembangunan Islam Kemboja (Kohsuthin).



Umpama singa lapar, masing-masing segera mengambil tempat. Para pembantu Hj Mousa mencedok nasi dan menuangkan air. Kami makan dengan penuh selera. Daging bakar mencecah air asam yang dihidangkan amat menyelerakan, apatah lagi dengan perut yang lapar ini. Sebentar sahaja nasi dalam pinggan masing-masing sudah habis. Para pembantu datang lagi membawa bekas nasi tambah sambil menambah nasi ke pinggan-pinggan yang hampir kosong. Lauk juga ditambah. Daging bakar masih panas, dibawa lagi, beserta gulai daging. Difahamkan, daging tersebut adalah daging sembelihan aqiqah  yang disedekahkan oleh penderma-penderma dari Malaysia juga.

Setelah kekenyangan, pembantu membawa pula gelas-gelas berisi ketulan ais dan mengagih-agihkan air minuman dalam tin. Memang dalam keadaan kepanasan oleh keadaan cuaca, disertakan pula baru selesai menjamu nafsu makan dengan daging bakar yang lazat tadi, air minuman yang sejuk amatlah dialu-alukan. Pucuk dicita, ulam mendatang. Masing-masing membuka tin dan menuang ke dalam gelas berisi ais dan minum seenaknya. Tetapi perut yang sudah penuh tidak dapat lagi menerima kesemua air tersebut. Apabila masing-masing sudah kekenyangan, ada antara kami mengingatkan bahawa kami masih belum menunaikan kewajipan solat…! Seorang demi seorang bangkit dengan agak kepayahan, lalu mengatur langkah menuju masjid.

Sambil itu pembantu-pembantu tadi mengambil tempat kami di meja-meja yang dikosongkan. Mereka mengisi nasi ke dalam pinggan masing-masing untuk makan – rupa-rupanya  mereka juga belum makan, dan mereka menunggu sehingga dapat selesai melayan kami, tetamu mereka dari jauh, baharulah mereka menjamah nasi – baki lebihan yang tidak kami habiskan. Begitu juga air dalam tin – mereka mengangkat tin-tin yang kami tinggalkan dan mengumpul saki-baki air ke dalam gelas, untuk mereka minum. Saya tidak menyedari perkara ini, tetapi dimaklumkan oleh salah seorang ustaz yang mengiringi perjalanan kami, semasa ustaz memberi taklimat dalam perjalanan pulang. “Dalam kita bersungguh-sungguh menikmati juadah yang disediakan, rupanya mereka juga dalam kelaparan dan sanggup menunggu sehingga kami makan dengan puas, baharulah mengambil giliran mereka.” Semasa kami mula makan, sebagaimana kelaziman, mereka turut dipelawa untuk makan bersama tetapi sudah pasti mereka menolaknya.

















No comments:

Post a Comment