Sunday, February 13, 2011

Perginya Ibu

Ibu meninggalkan kami, pergi selama-lamanya dari hidup kami, dalam usianya sekitar 35 tahun. Kami masih belum mengenal hakikat kehidupan ketika itu. Umurku 8 tahun, kakak pula 10 tahun. Manakala adik-adik ku berumur 5 tahun dan adik bungsu yang baru dilahirkan.

Rasanya adik-adikku tidak mengingati langsung kenangan bersama ibu. Mereka masih terlalu kecil. Adik bungsu kami pula menyusuli ibu lapan tahun selepas itu, apabila terlibat dengan kemalangan di jalanraya semasa pulang dari sekolah. Barangkali kakak mempunyai banyak kenangan manis dan pahit bersama ibu, tetapi tidak lama selepas ibu meninggal dunia, kakak pula berhijrah meninggalkan adik-adiknya, untuk diperhambakan oleh satu keluarga yang bermanis mulut menjanjikan kebahagiaan serta bantuan. Tinggallah aku bersama-sama adik-adik, dibela oleh nenek, bersama datuk dan bapa kami.

Kehidupan kami dalam kemiskinan, tetapi tidaklah sampai terpaksa meminta-minta. Kehidupan di kampung masih boleh diteruskan walaupun kekurangan wang untuk membeli-belah barang-barang keperluan. Memadailah jika ada sedikit wang untuk membeli beras, jika sesebuah keluarga itu bukan pesawah. Selainnya, barang keperluan utama yang mungkin perlu dibeli ialah minyak tanah untuk pelita, gula, garam, dan sekali sekala untuk membeli ikan serta lain-lain lauk-pauk sekadar yang perlu.

Tidak ada bil elektrik untuk dibayar, kerana kampung kami belum menerima bekalan elektrik. Air minuman kami adalah air mineral asli, terus dari perigi yang digali, percuma, tak perlu bayar apa-apa. Jikalau kesuntukan wang, minyak masak tidak perlu dibeli, buah-buah kelapa tua boleh diparut dan santannya dibuat minyak. Ia berbau sedikit, tetapi kami tidak ada apa-apa kemewahan untuk dijadikan perbandingan.

Lauk-pauk boleh diperolehi dari hasil bumi. Banyak sayur-sayuran ditanam sendiri – mentimun, lobak, kacang panjang, jantung pisang, bayam dan berbagai lagi. Sayur-sayuran yang tumbuh sendiri juga banyak dan mudah diperolehi – pucuk paku, pucuk ubi dan sebagainya. Santan boleh didapati dengan percuma, pokok kelapa ada di mana-mana. Minuman kami adalah air kelapa yang segar, tanpa campuran gula atau perisa. Tanpa ais.

Sirih
Semasa hayatnya, ibu seorang yang amat gigih bekerja. Ibu bertanam sayur, tembakau dan berbagai tanaman lain. Ibu membuat kerja-kerja yang kebiasaannya dibuat oleh orang lelaki – mencangkul tanah, menyiram tanaman, memetik hasil, membawa ke pasar untuk dijual. Pada musim buah, ibu memungut buah-buahan untuk dijual. Ibu memanjat pokok langsat, duku, rambai, rambutan dan manggis, memetik buah-buahnya. Esoknya ibu membawa buah-buahan tersebut secara menjunjungnya didalam bakul, dengan berjalan kaki ke pasar. Dapat seringgit dua, boleh digunakan untuk membeli beras. Jika mendapat lebihan wang, ibu tidak lupa membeli makanan di pasar untuk anak-anaknya, kami bertiga, iaitu sebelum kehadiran adik bungsu kami.

Diluar musim buah, ibu mengutip kelapa, pisang, daun pisang dan daun sirih untuk dijual. Jika musim menanam tembakau, ibu turut melakukannya. Memproses daun tembakau agak remeh, ianya perlu dikeringkan sebelum dapat dihiris. Menghirisnya memerlukan kemahiran, supaya hirisannya halus. Selepas dihiris, daun tembakau perlu dijemur lagi hingga menjadi tembakau kering dan sedia untuk dijual atau digunakan.


Ibu tidak pernah bersungut atau mengeluh tentang kepayahan hidup. Dia selalu melambakkan kasih-sayangnya kepada kami, anak-anaknya. Ibu boleh membaca tulisan Thai. Sebelum tidur, jika ibu tidak terlalu kepenatan, dia sering membacakan buku cerita klasik Thai, yang penuh dengan kisah-kisah indah dan mengasyikkan. Sambil membaca, ibu menterjemahkannya ke bahasa yang lebih mudah kami fahami. Aku sentiasa menanti-nantikan tibanya waktu tidur, untuk mendengar pengisahan dari ibu sehingga tertidur dalam pelukan kasih sayangnya.

Selepas melahirkan adik bungsu kami, kesihatan ibu mula mengganggu. Dia tidak pulih-pulih dari sakitnya. Badannya terlantar di tempat tidur, mengerang kesakitan hampir sepanjang masa. Aku masih terlalu mentah untuk memahami kesengsaraan yang ibu tanggung, tetapi aku tahu ibu dalam kesakitan. Tak henti-henti dia mengerang dan meminta tolong, tetapi apa dayaku untuk membantu? Nenek, iaitu ibu mertua kepada ibu membantu merawat sekadar yang terdaya. Nenek pun sudah tua, tenaganya tidak seberapa. Kedua-dua orang tua ibu sudah lama meninggal dunia.

Daun tembakau
Barangkali ibu sakit kerana terlalu tidak menjaga kesihatannya semasa hamil. Dalam keadaan perutnya yang membesar, ibu terus melakukan kerja-kerja sehariannya yang lasak dan memerlukan tenaga lelaki. Malah, selepas bersalin, ibu tidak member perhatian terhadap kesihatannya. Beliau gigih mengendali sendiri akan keperluannya, barangkali kerana memikirkan kami yang masih kecil dan tidak berupaya membantu sangat.

Akhirnya ibu pergi jua. Tamatlah sengsara ibu di dunia fana. Tiada lagi tangisan kesakitannya. Tiada lagi airmata ibu yang membasah pipi cengkungnya. Dan tiada lagi aku mendengar kisah-kisah kayangan  yang dibacanya. Sebelum maut menjemput ibu, beliau sering tidak sedarkan diri buat beberapa lama.  Suatu hari, seseorang yang datang melawat mendapati mulut ibu bergerak-gerak seperti mengunyah-ngunyah sesuatu, dalam keadaan dia separuh sedar. Apabila diperiksa, didapati ada cebisan biskut dalam mulut ibu. Rupa-rupanya itu kerja kakakku, yang risaukan ibu mungkin kelaparan kerana sudah banyak hari tidak makan. Kakak menyuapkan biskut kering ke dalam mulut ibu, dalam keadaan ibu tidak sedar diri. Tetapi usaha kakak sia-sia sahaja, kerana ibu tidak tertelan makanan tersebut.

Setelah kerap sangat ibu pengsan, akhirnya ibu dibawa ke hospital. Tidak lama ibu di hospital. Tidak sampai semalaman. Jasad ibu dibawa pulang, tanpa nyawa lagi. Kami yang ditinggalkan hanya terpinga-pinga apabila dikejutkan pada tengah malam dan diberitahu “ibumu sudah tiada”. Aku tidak faham sangat bahasa berlapik sebegitu. Bagaimana mereka boleh mengatakan ibuku sudah tiada, sedangkan aku nampak badan ibu masih terlantar di atas pangkin di bawah bangsal depan rumah? Tapi aku kehairanan, kenapa ibu dibiarkan di bangsal? Kenapa tidak dibawa naik ke rumah? Kan ibu sakit?

Kakak datang memelukku. “Ibu kita sudah tiada, dik. Ibu kita sudah berada di alam lain. Dia sudah mati”

Aku masih terpinga-pinga. Apa maksud kakak? Ibu sudah mati? Apa akan berlaku seterusnya? Bila ibu akan naik ke rumah?

“Ibu sudah meninggalkan dunia ini, dik. Sudah tamat sengsara ibu. Esok atau lusa mayat ibu akan dibawa ke kubur”

Pada masa itu aku belum mengerti benar akan hakikat hidup dan mati. Aku belum faham benar akan hakikat akidah dan ketauhidan. Aku masih mentah, baru masuk darjah dua. Baru mengenal huruf. Tetapi kekosongan yang ditinggalkan ibu memberi ruang untuk aku meminati dunia pembacaan. Kemahiran membaca memberikan aku kebebasan untuk meneroka alam buku. Banyak betul khazanah yang dapat digali dari buku-buku yang dibaca. 

No comments:

Post a Comment