Saturday, January 22, 2011

Kunjungan Pertama ke Baitullah

Mutawif yang ditugaskan membawa kami ke Masjidil Haram adalah seorang pemuda Arab yang boleh berbahasa Melayu walaupun tidaklah fasih sangat.  Pertuturannya ada bunyi keindonesiaan, dan kadang-kala kami perlu mengambil sedikit masa tambahan untuk cuba memahami apa yang mahu disampaikannya.

Sebelum memulakan perjalanan ke masjid, beliau member taklimat di lobi hotel. Jarak dari hotel tidaklah jauh, dalam 500 meter sahaja. Namun begitu, memandangkan hari wukuf tinggal lebih seminggu sahaja lagi, Bandaraya Makkah telah dipenuhi jutaan jemaah dari merata dunia. Jalan-jalan raya dipenuhi jemaah yang berulang-alik antara  tempat kediaman mereka dengan masjid, selain singgah di kedai-kedai untuk mendapatkan barang keperluan atau cenderamata. Oleh demikian, mutawif menasihatkan jemaah supaya bergerak berkumpulan, terutamanya bagi mereka yang pertama kali menjejakkan kaki ke bumi suci ini. Mutawif juga memaklumkan bahawa kami akan mengikut laluan yang agak jauh sedikit, bagi mengelakkan kawasan pasar zing yang selalunya sesak dan sukar untuk dilepasi dengan lebih pantas.
Malam atau siang, kota Makkah tetap sibuk, lebih-lebih lagi pada musim haji

Kami yang masih tidak mahir dengan jalan-jalan dan lorong-lorong di Makkah mengikut sahaja dengan patuhnya. Khuatir juga, sekiranya kami terpisah dari rombongan dan tersesat dalam lautan manusia. Banyak juga cerita yang kami kutip semasa di tanahair lagi, mengenai ramai jemaah yang sesat, dan ada antara mereka tidak ditemui lagi sehinggalah tidak ketahuan di mana mereka kini, sama ada masih hidup atau telah meninggal dunia. Kami terima sahaja cerita-cerita sebegitu, tanpa banyak bersoal-jawab, sebaliknya menanam azam di dalam hati untuk sentiasa berjaga-jaga agar tidak terpisah dari kumpulan, serta berdoa kepada Allah agar kami dilindungi dari kepayahan.

Kami mula bergerak dalam pukul 1 pagi. Menurut mutawif, waktu ini paling sesuai, kerana dijangka jemaah belum memenuhi masjid. Masih ada lebih tigam jam lagi sebelum masuk waktu Subuh.  Dengan penuh semangat, kami melangkah menuju Masjidil Haram, sebilangan besarnya dalam keadaan berihram haji, lantaran penerbangan kami adalah kapal yang penghujung dan sudah hamper benar tibanya hari Wukuf.

Mutawif berjalan di hadapan, sambil memberi beberapa panduan dan peringatan, sekiranya ada antara kami yang terpisah dari kumpulan apabila berada di masjid kelak, apa yang patut kami lakukan, laluan mana yang perlu kami ikuti dan apakah tanda-tanda laluan yang patut kami perhatikan untuk kembali ke hotel. Beliau memaklumkan, kami memasuki Masjidil Haram melalui pintu Babus-Salam , mengikut sunnah yang dilakukan nabi Muhammad saw.

Kelihatan sahaja bangunan Masjidil Haram yang tersergam, dengan dikerumuni ribuan jemaah, kebanyakannya berihram dengan kain putih, diterangkan pula oleh pancaran cahaya lampu suar terang benderang, hati aku teruja untuk segera mendekatinya. Airmata bersedia untuk dititiskan, sungguh sayu menerima ketentuan Allah yang menyampaikan juga aku ke masjid agung ini. Langkah kami dipercepatkan lagi, mengharungi arus manusia, yang berbagai-bagi ragam dan karenah. Ada yang asyik bercakap-cakap sesama mereka, tidak peduli jika mereka menghalang laluan orang lain, ada yang menolak-nolak dari belakang, walaupun orang yang di hadapan sudah tidak ada ruangan untuk terus maju, ada yang berjalan berbaris-baris seperti keretapi, tidak mahu terputus rantaian mereka dan bersedia merempuh apa jua halangan di hadapan mereka, ada pula yang mundar-mandir sambil menghulurkan tangan, menadah sedekah serial dua dari jemaah yang mahu memberi.
Hidup melarat, kulit hanya membaluti tulang, mengharap simpati insan lain...
Rupa-rupanya telahan mutawif agak tersasar. Sudah ramai jemaah tiba di Masjidil Haram. Dari luar, sudah kelihatan jemaah berpusu-pusu menuju pintu masuk. Ramai juga yang mula menghampar sejadah di ruang-ruang kosong di luar masjid. Sukar untuk kami semua duduk setempat, kerana ruang-ruang kosong yang ada hanya boleh diselit oleh beberapa orang sahaja. Sudah pasti kumpulan kami dari Maktab 82 perlu berpecah-pecah kepada kumpulan yang lebih kecil.


Semasa mengikuti kursus bimbingan tempohari, ada ustaz memberitahu, apabila masuk Masjidil Haram, jangan ditinggalkan kasut atau selipar di luar masjid. Masukkan alas kaki ke dalam uncang kasut dan letaklah di rak-rak kasut yang disediakan. Rak-rak kasut dinomborkan, dan kita perlu mengingati nombor tersebut untuk mengambil kembali uncang kasut masing-masing kelak. Aku tidak member perhatian mengenai perkara itu semasa berkursus, dan menganggap ianya perkara remeh. Jadi aku tidak tahu, rupa-rupanya rak-rak kasut yang dimaksudkan tersebut adalah berada di dalam masjid, di merata-rata lokasi, dan bukannya terletak di pintu masuk sahaja, sebagaimana di tanahair.


Oleh kerana aku bayangkan rak-rak kasut hanyalah tersedia di kawasan pintu masuk, maka sebaik sahaja mendekati tangga yang menuju ke pintu masuk ‘Babus-Salam’, aku membuka selipar yang dipakai dan memasukkan ke dalam uncang kasut. Isteriku juga berbuat demikian. Aku meminta uncang kasutnya, untuk kusimpan bersama. Aku ikat kedua-dua uncang kasut kami, menjadi satu dan mencari-cari rak kasut untuk menyimpannya, tetapi tidak kelihatan. Lantas aku memutuskan untuk meletakkan di satu sudut tepi dinding, di belakang tangga. Insya Allah, mudah untuk aku mengambilnya semula, memandangkan kedudukan ‘sudut’ tersebut agak jauh dari laluan jemaah keluar masuk, iaitu di bawah tangga, dan rapat ke dinding masjid.

Kami masuk beramai-ramai dengan menaiki tangga yang lebar itu. Rupa-rupanya tangga itu membawa kami naik ke laluan di atas tempat orang saei. Kami melintasi jejantas itu, sambil diperhatikan oleh pengawal-pengawal keselamatan masjid. Ada juga antara jemaah wanita diperiksa oleh pengawal perempuan yang berpurdah. Beg sandang mereka diseluk dan badan mereka diraba-raba. Tetapi tiada sebarang insiden buruk yang berlaku, kecuali seorang dua jemaah wanita yang kebetulan membawa gunting, maka gunting mereka diambil oleh pengawal.

 Kami menuruni tangga jejantas di dalam masjid, patuh mengekori sang mutawif. Sebaik sahaja kaki memijak lantai masjid, barulah aku nampak rak-rak kasut yang sememangnya banyak terdapat di merata tempat, di tepi-tepi tiang , sebelah laluan jemaah. Memangpun rak-rak itu dinomborkan. Senanglah mencarinya kelak. Jadi fahaman aku tersasarlah, rak-rak kasut berada di dalam masjid, bukan di pintu masuk. Tapi tak mengapalah, tempat aku campakkan uncang kasut tadi agak tersorok, tentunya tidak ada masalah untuk mengambilnya semula.


Tiba-tiba mataku terpaku, melihat satu objek yang selama ini tidak dapat kubayangkan dengan jelas. Objek yang menjadi tumpuan semua umat Islam, objek yang menjadi puncak perhatian semua – itulah Kaabah, tegak dan teguh berdiri di tengah-tengah medan yang berlantaikan marmar putih. Syukur, syukur kepada Allah yang Maha Pemurah, yang telah menyampaikan aku ke sini. Setelah sekian lama ianya hanya dalam impian, kini aku betul-betul berhadapan dengannya. Kaabah yang selama ini aku hadapkan muka apabila bersolat, kini dapat kulihat dengan mata kepala ku sendiri.

Air mata tidak tertahan lagi. Suaraku hilang, tidak dapat berkata apa-apa. Dalam keterujaan itu kami melangkah menuju dataran Kaabah untuk bertawaf. Dalam lautan manusia di dataran Kaabah, aku tenggelam dihimpit manusia-manusia yang perbagai ragam, pelbagai rupa dan pelbagai karenah. Isteriku mengekori dari belakang, sambil sebelah tangannya memegang kain ihramku. Ustaz sudah berpesan berkali-kali, ikat kain kemas-kemas, kerana pasangan kita akan bergantung pada kain kita supaya tidak terpisah. Peristiwa yang tidak sanggup kita saksikan mungkin berlaku, jika ikatan kain tidak kemas dan berlaku tarik-menarik semasa bertawaf. Alhamdulillah, tiada perkara seumpama itu berlaku kepada kami.

Pengalaman bertawaf untuk kali pertama ini akan kuceritakan di lain kesempatan, secara lebih terperinci, mudah-mudahan boleh member manfaat.
 Selepas selesai solat Subuh, ada antara kami yang meneruskan beribadah dengan membaca ayat-ayat suci al-Qur’an, ada pula yang bertawaf lagi. Ada juga yang mahu kembali ke hotel, mungkin kerana masih kepenatan. Aku dan isteriku memutuskan untuk kembali ke hotel, selepas berehat seketika dalam masjid.

Hari sudah siang, langit cerah tanpa awan. Suasana pagi dengan matahari mula menampakkan cahayanya. Kami menuju pintu yang kami laliu semasa masuk tadi, Babus-Salam. Ramai juga para jemaah bertumpu ke pintu itu untuk keluar. Di sebelah luar pula, kelihatan ramai manusia berkerumun di pintu tersebut, untuk memasuki masjid. Pengawal membantu dengan menghalang mereka dari luar, dan member laluan kepada jemaah yang mahu keluar dahulu.
Kami bergerak perlahan-lahan menuju pintu keluar. Tolak-menolak menjadi perkara yang tidak dapat dielakkan lagi, masing-masing cuba meloloskan diri ke depan. Kesabaran amat diperlukan dalam keadaan ini. Sabar, sabar…

Akhirnya kami dapat keluar juga. Tetapi keadaan di luar juga amat sesak. Sungguh ramai jemaah menunggu-nunggu untuk memasuki masjid. Aku perhatikan tempat aku campakkan uncang kasut kami pagi tadi. Semua tempat dipenuhi manusia. Tiada ruang kosong. Macamana kami nak pergi ambil uncang kasut kami? Aduh…!

Aku fikir kalau kami berdua cuba bergerak ke sudut di mana kami simpan uncang kasut kami tadi, mungkin agak susah, dan berkemungkinan kami terpisah oleh kerana ramainya manusia. Aku menyuruh isteriku keluar dahulu dan tunggu di satu menara lampu tinggi yang jelas kelihatan dari situ, sementara aku cuba dapatkan selipar kami. Rasanya aku boleh dapatkannya, tetapi mungkin terpaksa bertolak-tolak sedikit untuk meloloskan diri.

Sambil berdoa agar Allah mempermudahkan urusanku, aku mula berpusing ke arah tempat uncang kasut disimpan dan cuba bergerak ke situ. Sedikit demi sedikit aku bergerak melawan arus manusia yang sedang mendesak-desak untuk memasuki masjid. Tiba-tiba kakiku tersadong sesuatu. Aku memandang ke bawah dan aku seakan tidak percaya apa yang aku nampak. Memang aku tidak percaya, aku menggosok-gosokkan mata melihat semula. Memang betul, benda yang sama! Aku tunduk mengambilnya dengan pantas, sebelum badanku dipijak manusia… Itu dia, uncang kasut kami!!!

Aku tidak dapat menahan air mata, terharu dengan bantuan segera yang Allah berikan! Tanpa lengah-lengah, tanpa sebarang kesukaran, Allah memberikan semula uncang kasut kami kepadaku. Aku tidak tahu bagaimana ia boleh berada di situ. Itu urusan Allah, aku terima pertolonganNya dengan syukur yang teramat.

Aku segera memasuki arus manusia yang menuju keluar masjid dan mendapatkan isteriku. Dia jangka aku gagal mendapatkan uncang kasut kami.

“Tak boleh ambil ya? Tak mengapalah, kita beli saja selipar kat luar tu. Ada ramai orang jual selipar kat sana”

Aku mengunjukkan uncang kasutnya. Dia terpinga-pinga.

“Eh, dapat ambil ya? Cepatnya. Macamana dapat ambil?”

Aku senyum sahaja. Maha suci Allah yang Maha Mendengar dan Maha Mengasihani!

No comments:

Post a Comment