Thursday, January 13, 2011

Saat Terakhir Bapa

‘Dik, bapa sakit tenat. Kalau nak tengok, baliklah. Dia mungkin tak punya banyak masa lagi” Kakak memberitahuku melalui telefon, dalam aku leka menjalankan tugas di tempat kerja. Aku tidak terkejut kerana bapa memang sudah lama sakit, sudah beberapa kali masuk dan keluar hospital.

“Nantilah kak, saya nak kena bersiap ni, minggu depan saya nak kena outstation” sebenarnya aku dijadualkan ke Sepanyol, atas urusan kerja.

“Yalah, tapi kalau ada masa, baliklah sekejap tengok bapa. Dia pun ada sebut nama adik”

Aku memutuskan untuk pulang sebentar. Langsung memohon cuti dan terus ke Medan Tuanku, untuk membeli tiket bas.

Perjalanan bas ekspres ke Kota Baru mengambil masa lebih kurang 7 atau 8 jam, bergantung kepada pemandu bas dan juga keadaan bas, selain keadaan cuaca. Lazimnya tiada masalah kesesakan jalanraya. Sepanjang malam itu aku mengelamun panjang di dalam perut bas Ekspres Budaya. Apakah ajal bapa sudah tiba? Apakah aku boleh berbuat sesuatu untuk mengubah pendirian bapa? Untuk menukar kepercayaan bapa? Apakah aku ada kekuatan untuk membuka mulut mengajak bapa mengikut kepercayaan aku? Apa pulak kata kakak nanti?

Aku tiba di Kota Baru hampir masuk waktu Subuh. Aku memutuskan untuk solat di masjid sahaja, lalu terus menapak ke Masjid Muhammadi yang jaraknya boleh tahan juga dari setesen bas. Tiba di masjid, kelihatan jemaah-jemaah mula tiba untuk solat Subuh. Aku ke bilik air untuk membersihkan diri dan berwuduk.

Azan berkumandang memecah kesunyian pagi. Mendayu-dayu bunyinya, menambah rasa pilu. Apakah aku ada kekuatan untuk mengajak bapa kepada Islam? Apakah bapa akan member ruang untuk aku berdialog dengannya? Atau dia akan menolak mentah-mentah?

Selesai solat, aku menadah tangan memohon Allah member kekuatan dan kesabaran. “Ya Allah, berikanlah aku kekuatan untuk menyampaikan yang benar kepada bapa. Ya Allah, berilah kesabaran kepadaku untuk menerima apa jua takdirMu kelak”

Aku meninggalkan masjid, mengatur langkah di jalanraya yang mula sibuk dengan beca  motorsikal dan kereta. Aku pekakkan telinga dari mendengar kebingitan bunyi enjin dan hon pelbagai kenderaan. Fikiran aku tenggelam dalam lamunan; apakah yang mungkin akan berlaku nanti? Berupayakah aku menuturkan kata-kata pujukan kepada bapa? Marahkah bapa bila mendengar kata-kataku kelak?

Aku tenangkan hati, damaikan perasaan. Mudah-mudahan Allah mempermudahkan untukku. Tetapi aku juga amat khuatir akan kemungkinan segala yang aku harapkan tidak menjadi. Segala yang aku impikan tidak kesampaian. Namun aku cuba memujuk hati dan bertenang, sambil mengumpul kekuatan.

Masih terlalu awal, apabila aku tiba di perkarangan HBKB. Waktu lawatan untuk menziarah pesakit adalah jam 12:30 tengahari. Masih ada beberapa jam lagi. Aku tidak pula merasa lapar. Tiada selera untuk makan, sedang hati berkecamuk memikirkan apa yang akan kulalui sebentar lagi.

Aku berlegar-legar di perkarangan hospital, menunggu pintu ke wad-wad dibuka. Apabila penat, aku duduk dibangku-bangku yang masih kosong. Kemudian aku bangun semula, berjalan ke depan, ke belakang. Kemudian duduk semula. Sehinggalah jam menghampiri 12 tengahari, sudah ada beberapa orang datang menunggu bersamaku, tentunya untuk melawat keluarga atau rakan-rakan mereka. Tepat 12:30 pintu utama dibuka, masing-masing terus meluru masuk.

Aku mencari-cari wad dimana bapa dirawat. Ternampak kakak melambai-lambai, rupa-rupanya dia sudah berada dalam wad, menunggu bapa.

“Masuklah, bapa sedang tidur tu. Ada doktor sedang memeriksa bapa. Kak nak ke bilik air kejap”

Aku masuk. Seorang doktor Melayu sedang berdiri sambil menulis sesuatu pada fail rawatan pesakit yang nampak sungguh kurus. Muka pesakit itu cengkung, dan kelihatan dadanya turun-naik seiring nafas yang dihembus dan ditarik. Itulah bapaku yang sedang terlantar di atas katil. Tiada lagi kegagahan, melainkan kelemahan dan kemelaratan. Tiada lagi suara yang garau dan ceria, melainkan bisikan lemah dan suara mengerang dalam kesengsaraan.

“Assalamualaikum, doktor” Aku menyapa doktor yang bersongkok itu.

“Waalaikummussalam warahmatullahi wabarakatuh!” dia memandang aku. Mungkin agak kehairanan disapa oleh seseorang yang dia tidak kenali.

“Ini bapa saya” aku menjelaskan, sambil menunjuk kepada pesakit itu.

“Oh,” doktor senyum sambil menghulurkan tangan untuk bersalam denganku.

Agaknya dia mungkin tertanya-tanya, kerana pesakit yang dirawatinya itu seorang berketurunan Cina, sedangkan aku, anaknya, memberi salam pula.

“Saudara ni anak pakcik ni, yang duduk di Kuala Lumpur ya?” Doktor bertanya aku. “Ada kakak saudara beritahu saya tentang saudara”

Oh, jadi dia dah tahu la, fikirku. Kakak ku masih belum muncul semula.

“Doktor, boleh saya nak bercakap sikit?”

“Boleh, boleh”

“Boleh kita bercakap kat luar sana?” Aku menunjuk ke luar pintu wad.

“Boleh. Jom”

“Begini doktor. Saya ni dah masuk Islam, tapi bapa saya masih belum.”

“Ya, saya tahu. Kakak saudara ada bagitahu saya”

“Boleh tak doktor tolong saya?”

“Tolong macam mana? Kalau saya berupaya, insya Allah saya tolong”

“Boleh doktor pujuk bapa saya supaya dia masuk Islam”

Apakah pemintaan aku ini keterlaluan? Kurasa tidak. Rasanya doktor ini seorang yang agak alim orangnya. Bersongkok, Bercakap dengan suara yang lembut. Wajah yang jernih. Tiada kekasaran langsung.

Doktor itu terdiam sambil memandang mukaku. Aku terasa sebak. Airmata menunggu masa untuk dicurahkan.

“Saya rasa bapa saya sudah tidak ada masa yang panjang, doktor. Kalau doktor berupaya, doktor cubalah berdakwah kepada dia. Saya serahkan kepada doktor untuk membuat apa yang wajar”

“Insya Allah, insya Allah” doktor berkata perlahan. Suaranya seakan tersekat-sekat. Barangkali dia merasa sebak juga, seperti aku? Atau permintaan aku terlalu berat untuk dia tunaikan?
Kakak datang semula dengan membawa bungkusan plastik.

 “Nak makan tak, kakak belikan nasi kerabu ni” Kakak memang tahu aku sukakan makanan itu. 


Pastinya dia juga dapat mengagak aku belum makan apa-apa lagi, sejak dari pagi.

“Kejap lagi la, kak. Nak tengok bapa dulu” Aku memandang doktor yang masih disitu.

“Sila, silakan saudara. ” Doktor mempersilakan kami masuk semula ke wad. Aku menghampiri katil bapa.

“Bapa” aku panggil bapa. “Bapa tidur ke?”

Bapa mencelikkan mata apabila mendengar suara anaknya. Dia memanggil namaku.

“Macamana bapa sekarang?”

“Bapa sakit. Sakit sangat. Bapa rasa dah tak lama lagi, bapa akan pergi”. Air mata mula meleleh membasahi pipiku. Aku biarkan.

“Bapa, marilah masuk Islam pak, ikut agamaku” aku membisik ditelinga bapa. Suaraku tersekat-sekat.

“Bapa dah tua, dah tak sempat dah. Biarlah bapa ikut agama nenek moyang kita. Nak tukar pun tak guna dah” bapa bercakap dengan iringan batuk dan kahak dalam tekak.

Hmm… apa lagi dayaku? Aku bukannya pandai memujuk. Lagi pula ilmu aku tidak seberapa, apa yang patut aku cakapkan dalam situasi ini?

“Bapa, doktor tu baik, kan?”

“Doktor Melayu tu? Ya, dia baik orangnya, bercakap lemah lembut, tidak marah-marah. Dia pujuk bapa masuk Melayu, dia kata kalau bapa mati, terus masuk syurga. Tapi bapa kata bapa dah tua, dah terlambat…”

Oh, rupa-rupanya doktor itu sudah berdakwah kepada bapa sebelum ini.

“Bapa ikutlah cakap doktor tu, betul apa yang dia cakap tu”

“Tak, bapa dah tua, dah lama ikut agama nenek moyang kita. Bapa pun dah nak mati dah. Biarlah bapa mati dalam agama nenek moyang kita”

Kakak dari tadi mendengar sahaja percakapan aku dengan bapa. Kakak tidak membantah kata-kataku. Dia diam sahaja. Tetapi bapa masih sama seperti dulu. Masih utuh dengan kepercayaan nenek moyang.

“Makanlah dulu dik” kakak menghulurkan bungkusan nasi.


Bapa meninggal dunia beberapa hari selepas pertemuan itu. Dia pergi dalam keadaan masih berpegang kepada kepercayaan nenek moyangnya. Apakah doktor itu terus berusaha mendakwah bapa selepas aku meninggalkan mereka? Apakah dia berjaya mengubah pendirian bapa? Atau mungkinkah kata-kataku kepada bapa memberi kesan positif? Secara luaran, bapa mati dalam keadaan yang sama, pegangannya masih sama, dia tidak menunjukkan sebarang perubahan. Tetapi dalam hatinya, kita tidak akan tahu. Mungkinkah dia sudah beroleh taufik dan Hidayah dari Allah? Mungkinkah bapa beroleh setitik cahaya iman? Allah Maha Mengetahui.

No comments:

Post a Comment