Monday, December 20, 2010

Masuk Melayu atau Masuk Islam?

Bagaimana harus ku sampaikan khabar mengenai keIslamanku kepada bapaku? Bapa seorang orang kampung yang berfikiran konservatif, sebagaimana kebanyakan pemikiran masyarakat Cina di kampungku, Wakaf Bharu. Anggapan mereka terhadap seorang bukan Islam yang memeluk Islam adalah “masuk Melayu”, kerana majority kes masuk Islam adalah kerana mahu berkahwin dengan pasangan Melayu, lalu mereka masuk Islam, menukar nama kepada nama “Melayu”. Ada antara mereka yang “masuk Melayu” itu mula berubah dan mengamalkan cara hidup sebagaimana dikehendaki oleh Islam, tetapi tidak kurang pula ada yang terus bergelumang dengan caraa hidup dan maksiat, seperti berjudi, minum arak dan meninggalkan solat dan puasa. Lebih-lebih lagi, apabila perkahwinan dengan pasangan Melayu tersebut menemui jalan buntu dan terputus ditengah jalan, ramai juga saudara baru tersebut kembali ke agama asal. Nyata sekali, sebutan “masuk Melayu” memang bertepatan dengan mereka ini. Setelah gagal dalam perkahwinan mereka, mereka “keluar Melayu” dan kembali kepada keadaan asal mereka.

Pada masa aku memeluk Islam secara rasmi, aku bekerja di Kuala Lumpur. Aku telah memberitahu kakak terlebih dahulu mengenai keIslamanku.. Kakak menerima berita itu tanpa merasa terkejut. Beliau sudah menjangkanya. Akan kucoretkan perihal kakak lain kali. Tidak lama selepas keislamanku, aku memberitahu kakak aku akan pulang bercuti. Kakak menyarankan agar aku diamkan dulu tentang keIslamanku, kerana dia khuatir bapa tidak dapat menerimanya. Jadi sepanjang cutiku beberapa hari itu, aku tidak menunjukkan sebarang perubahan atau bercerita mengenai keIslamanku kepada sesiapa di kampung. Kakak bersekongkol dengan menyediakan bilik untuk aku bersolat semasa di rumah, beliau berjaga-jaga supaya tiada sesiapa masuk ke bilik tersebut apabila aku solat. Aku berjaya melalui tempoh cuti selama tiga atau empat hari tanpa mendedahkan rahsiaku.

Tiba masa untuk aku kembali semula ke Kuala Lumpur. Aku memberitahu kakak, aku perlu memaklumkan kepada bapa perihal agama aku. Kakak masih ragu-ragu dan menyatakan kerisauannya tentang bagaimana penerimaan bapa, tetapi aku sudah nekad untuk memberitahu perkara yang sebenar.

Aku pulang ke Kuala Lumpur menaiki keretapi. Bapa menghantar ke stesen di Wakaf Baru. Kami dating awal, keretapi akan tiba dalam masa lebih sejam lagi. Kami singgah di sebuah kedai kopi di belakang stesen. Setelah minum, aku memandang muka bapa dan dengan jantung yang berdebar kencang, aku mengumpul semangat untuk memulakan kata-kata:

“Bapa, aku ada nak beritahu sesuatu”

“Apa dia?” Bapa memandang aku.

“Aku sudah memeluk agama Islam” jawabku dengan ringkas. Hatiku di awang-awangan, menunggu reaksi bapa.

Bapa diam. Lama diamnya. Aku mengalih pandangan. Takut untuk melihat muka bapa. Aku bersedia menerima segala kemungkinan – adakah bapa akan menempelengku? Atau menengking aku? Atau mencekik aku? Aku tidak tahu apa yang akan berlaku. Tetapi bapa seorang yang baik; dia tidak pernah memukul anak-anaknya. Tidak pernah menempeleng atau mengasari kami. Tapi perkara yang aku baru nyatakan ini adalah suatu perkara yang besar, amat besar. Apakah bapa boleh menerimanya? Sedangkan aku adalah anak lelaki tunggal, yang menjadi harapan keluarga bagi meneruskan nama keluarga kami. Sebenarnya aku ada seorang adik lelaki, tetapi umurnya tidak panjang. Dia meninggal dunia semasa berumur 9 tahun kerana kemalangan jalan raya.

Bapa tiba-tiba bersuara. “Kenapa masuk Melayu? Nak kahwin ke?” Suara bapa berubah, agak garau dan sebak.

“Bukan bapa. Aku bukan nak kahwin”

“Habis tu kenapa? Ada orang janji nak bagi hadiah apa-apa ke?”

“Bukan bapa. Bukan sebab itu. Aku masuk Islam, bukan masuk Melayu. Aku masuk Islam sebab aku fikir agama Islam adalah benar. Agama kita adalah silap. Itu sahaja sebabnya” Jelasku.

“Tapi agama Islam banyak peraturan. Banyak yang kena buat, sembahyang, puasa, tak boleh makan itu ini. Susah!”

“Tidak susah bapa. Agama Islam mempunyai peraturan, supaya penganut agama Islam menjadi orang baik-baik. Agama kita sebelum ini tidak ada peraturan apa-apa, suka hati sahaja mahu mengamalkan atau tidak”

“Kamu boleh ke membuat semua itu? Kamu nak tinggalkan agama datuk nenek kita?”

“Boleh bapa. Tuhan akan tolong kita dan berikan kekuatan, kalau kita ikhlas. Lagi pulak Islam tidak memutuskan hubungan kita. Bapa masih bapaku sampai bila-bila. Aku akan tetap pulang ke rumah bapa bila bercuti. Cuma aku perlu laksanakan apa yang Islam suruh dan menjaga makan minum supaya mengikut kehendak Islam” aku menjelaskan lagi.

Bapa diam. Agaknya dia sudah mula menerima hakikat.

“Baiklah, kalau kamu betul-betul mahu buat begitu. Tapi amalkan betul-betul apa yang agama kamu suruh, jangan jadi macam sesetengah orang yang masuk Melayu…” Bapa bersuara perlahan.

“Ya bapa, aku akan lakukan apa yang Islam suruh. Dan Islam menyuruh aku tidak memutuskan hubungan dengan ibu-bapa. Jadi aku masih anak bapa dan bapa masih bapa aku”


Aku membiarkan air mata membasahi pipi sebaik sahaja keretapi bergerak meninggalkan stesen Wakaf Bharu membara aku ke Kuala Lumpur. Aku biarkan hatiku mengelamun jauh membayangkan bagaimana perasaan bapa, perasaan yang dia cuba sembunyikan dariku semasa menghantar aku dan mengucapkan selamat jalan. Semoga Allah memberikan hidayah kepada bapaku dan semua ahli keluargaku.

No comments:

Post a Comment