Saturday, December 25, 2010

Rakan menjadi Saudara Baru

Kerisauan utama yang selama ini menghantui fikiranku telah aku tempuhi tanpa sebarang tragedi atau peristiwa yang buruk - sekurang-kurangnya tidak berlaku pada diriku, walaupun aku mendapat maklum bahawa sebetulnya tidak dapat menerima penjelasanku dengan mudah. Kakak memberitahu, bapa mengamuk setibanya dia ke rumah, selepas menghantarku ke stesen keretapi. Bapa menyatakan kekesalan kepada kakak terhadap laluan pilihanku, tetapi kakak berjaya mendamaikan beliau. Kakak cuba memberi penjelasan dan pandangan tanpa terlalu menunjukkan dia berpihak kepadaku. Terima kasih, kak. Sungguh banyak pengorbananmu kepadaku, dan aku berdoa semoga Allah memberikan hidayah kepada mu, mudah-mudahan kakak beroleh petunjuk dan akan memilih kebenaran jua. Akan ku riwayatkan perihal kakak di lain kesempatan, insya Allah.

Sebelum aku sampaikan berita keIslamanku kepada bapa, sebenarnya rakan-rakan sekerjaku terlebih dahulu mengetahuinya. Aku tiada sesiapa di kota Kuala Lumpur ini, selain kawan-kawan yang bertugas di tempat yang sama. Saudara-mara berada jauh di kampung. Masa itu aku masih menyewa sebuah bilik di rumah seorang Cina di Jalan Klang Lama. Bilik sewaan hanyalah tempat bermalam, makan minumku di kedai. Kalau makan dibilik pun, hanyalah biskut dan air kotak.

Hari pertama aku bekerja selepas keIslamanku, aku tunggu masa yang sesuai untuk memecahkan berita perihal diriku kepada kawan-kawan. Kesempatan itu datang dengan segera, sebaik sahaja sampai di pejabat, kebetulan belum ramai yang tiba, aku mendekai sahabat baikku, Sani. Kami sama-sama belajar di Politeknik Ungku Omar dan melapor diri bertugas di tempat yang sama, cuma berselang 3 hari. Kebiasaanya kami memang bersama-sama keluar bekerja, makan dan minum.

"Sani, aku dah masuk Islam" kataku secara spontan.

"Hah? Betui ka? Alhamdulillah!" Sani menghulurkan tangan bersalam denganku. Dia menggenggam erat jari-jariku. Riang sungguh wajahnya.

Sani, sahabatku
"Aku dah agak dah, suatu hari nanti hang tentu masuk Islam jugak, Baguih, baguih. Aku pun dah lama nak ajak hang, tapi tak terkeluak pulak nak cakap" Sani orang Taiping. Loghat Peraknya masih tebal.

Aku senyum saja.

"Bila hang masuk Islam? Hang buat kat mana? Hang dah bagi tau keluarga hang?" Sani bertanya bertubi-tubi.

"Semalam aku pergi PERKIM. Tapi aku belum bagi tahu kat sesiapa"

"Hang dok mana sekarang? Mai dok dengan akulah, tapi rumah sewa aku rumah buruk je, rumah setinggan" Sani mempelawa bersungguh-sungguh.

"Hmm.. boleh juga kot, nanti hang boleh ajar aku. Aku tak kesah pun rumah buruk, rumah aku kat kampung dulu pun buruk jugak"

"OK la kalau macam tu." Sani sahut dengan gembira. Dia melambai-lambai kepada beberapa orang rakan lain yang baru masuk pejabat, "woi, woi, mai sini sat. Aku nak citer ni, Mus dah masuk Islam tau!"

"Alhamdulillah! Alhamdulillah!" Beberapa rakan sekerja datang mengelilingi kami dan bersalaman denganku. Masing-masing mahu mendengar cerita selanjutnya. Masing-masing menunjukkan kegembiraan. Riuh sebentar suasana pejabat pagi itu.

"Mus, engkau belajar kat mana? Engkau dah masuk Islam, kenalah sembahyang lima waktu" Seseorang memberitahuku.

"Aku banyak belajar dari buku, tapi PERKIM kata ada kelas agama sebelah malam. Aku akan belajar kat PERKIM la. Tapi aku kena sembahyang setiap waktu ke? Tak boleh ke aku buat kat rumah saja, malam nanti?" Aku perhatikan ramai juga kawan-kawan yang tidak solat pun, waktu tengahari. Bila ada kawan-kawan yang pergi solat, aku pernah bertanya kepada mereka yang tidak ikut serta, awak tak pergi sembahyang ke, dan aku diberitahu dia akan buat di rumah. Jadi aku fikir sembahyang bolehlah dilewatkan dan dibuat di rumah malam nanti.

Tapi sepanjang pengetahuanku hasil dari pembacaanku dan ajaran ustaz semasa sekolah dahulu, rasanya Islam telah menetapkan masa tertentu untuk solat, dan dalam satu hari ada lima kali masa yang berlainan. Jadi aku agak kehairanan juga bilamana ramai juga rakan sepejabat yang nampaknya tidakpun melakukan solat sepanjang hari di pejabat. Alasan mereka, pakaian tidak bersih, tak sempat dan berbagai alasan lagi, tetapi segera menambah, bahawa mereka akan solat 'qodho' di rumah nanti. Maka aku berfikir, agaknya memang dibolehkan berbuat sedemikian

"Alhamdulillah Mus, kamu dah jadi saudara baru kami. Kalau ada apa-apa masalah, bagi tahulah kami, kami akan cuba tolong" kata seseorang, aku tidak pasti siapa.
...

Sambutan rakan-rakanku amat memberangsangkan. Cuma sebelum aku mengambil langkah sendiri untuk mengIslamkan diriku secara resmi, tiada sesiapa antara mereka yang sudi mengajak aku ke jalan yang benar, jalan yang telah mereka perolehi. Apakah mereka segan untuk mengajak aku kepada kebenaran? Apakah aku boleh berbuat yang lebih baik dari itu, terhadap rakan-rakanku terkini yang masih belum mendapat cahaya itu? Aku belum temui jawapannya.

No comments:

Post a Comment